Petikan Khutbah Aidil Fitri 1430
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa lillahilhamd.
Sidang jemaah yang dirahmati Allah sekelian,
Hari ini kita telah dikejutkan dengan berbagai-bagai bala bencana. Bencana alama seperti banjir, ribut taufan dan gempa bumi. Sebelum ini wabak selsema burung merebak ke seluruh dunia, kini wabak Influenza A- H1N1 pula. Doktor seluruh dunia bertungkus-lumus mengkaji dan mencipta vaksin untuk merawat penyakit ini. Sebenarnya kita tidak perlu terlalu panik dengan situasi ini kerana setiap bala bencana yang menimpa manusia adalah ujian Allah kepada manusia yang membuat dosa supaya kembali kepada-Nya. Firman Allah yang bermaksud:
“Setiap manusia pasti akan Kami uji dengan ujian ketakutan, ujian kelaparan, kekurangan harta benda, jiwa dan hasil tanaman. Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar apabila ditimpa musibah, mereka berkata dari Allah dia datang dan kepada Allah dia kembali.”
Segala bentuk wabak yang didatangkan Allah kepada kita adalah merupakan sebab dan akibat, di mana sebab dan akibat itu semua adalah datangnya daripada Allah. Sebab dan akibat tidak memberi bekas.
Kenapa umat Islam hari ini terlalu takut dengan bala yang berbentuk hissiy, yakni bala yang berbentuk lahiriah iaitu bala yang nampak dengan mata sedangkan kalau kita redha dan sabar dalam menghadapinya, ia merupakan penghapusan dosa dan peningkatan darjat di sisi Allah. Penderitaan tidaklah hebat jika dibandingkan dengan azab Allah di akhirat kelak. Tetapi bala yang berbentuk lahiriah inilah yang menjadi keresahan setiap golongan sama ada pemimpin mahupun rakyat jelata.
Manakala bala yang berbentuk maknawi tidak diambil kira. Bala maknawi sebenarnya ialah bala hilang iman, bala hilang rasa berTuhan, hilang rasa kehambaan di hati manusia, tiada rasa kasih sayang sesama manusia, meninggalkan solat, meninggalkan puasa, tidak membayar zakat, tidak mengerjakan haji dan lain-lain ibadah. Bala ini menyebabkan kita berdosa. Dosa-dosa itu kalau tidak diampunkan Allah, akan menyebabkan kita dihumban ke neraka. Nauzubillah.
Hasil daripada kita melanggar perintah Allah yang berbentuk bala maknawi ini, maka Allah datangkan bala hissiy, iaitu bala yang berbentuk lahiriah supaya manusia yang engkar dan mungkir akan diseksa di dunia sebelum seksaan yang lebih berat di akhirat.
Mudah-mudahan dengan bala bencana yang menimpa manusia itu, mereka akan sedar supaya kembali bertaubat dan menyerah diri kepada Allah. Firman Allah dalam surah ar-Ruum ayat 41 yang bermaksud:
“Lahirlah kerosakan di daratan dan di lautan hasil usaha manusia, dengan Allah mendatangkan azab, supaya manusia kembali ke jalan yang benar.”
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa lillahilhamd.
* Pada saya, bahagian di atas ialah antara isi kandungan khutbah yang menarik. Ketika membacanya, bahagian ini saya 'tekankan' dengan harapan para pendengar pada hari itu dapat menghayatinya. Saya kongsikan di sini agar kita dapat manfaatnya bersama-sama. Wallahualam.
0 comments:
Post a Comment