Related Posts with Thumbnails

Iktikaf di 10 Terakhir Ramadhan



Sayu rasanya hati mengenang begitu pantasnya Ramadhan 1430 Hijrah ini berlalu. Tergambar cebisan-cebisan amalan yang dilakukan sepajang 21 hari ramadhan berlalu, Mashallah terlalu sedikit, sungguh sedikit. Namun masih belum terlambat bagi kita semua menggunakan 10 terakhir ramadhan ini dengan menambah amalan dan beribadah kepada Allah dalam masa yang sama mencari kehebatan satu malam yang lebih baik dari 1000 malam iaitu malam Lailatu Qadar. Antara saranan dan qudwah nabi kepada umatnya di 10 malam terakhir ini dengan beriktikaf di dalam masjid seperti hadis dari Aisyah r.a yang bermaksud :

" Nabi s.a.w selalu beriktikaf pada 10 terakhir di bulan Ramadhan sehingga diwafatkannya oleh Allah kemudian diteruskan iktikaf ( sunnah nabi ) oleh para isterinya " Riwayat Bukhari dan Muslim

Iktikaf bermaksud Mendiami dan menetap diri di dalam masjid dari seseorang yang tertentu dengan cara-cara yang tertentu. ( Majmuk An-Nawawi )

Daripada Abu Hurairah r.a berkata : " Adalah nabi selalu beriktikaf pada tiap-tiap malam 10 terakhir ramadhan dan pada tahun baginda diwafatkan, baginda beriktikaf 20 hari " Sohih Al-Bukhari.

Hukum Iktikaf

Para ulama muktabar bersepakat mengatakan Iktikaf 10 hari terakhir ramadhan adalah sunat muakkat ( dituntut ) kerana meneladani hadis-hadis nabi berkaitan dan menjejaki Lailatul Qadar manakalah Iktikaf nazar adalah wajid dan iktikaf di hari lain adalah istihbab sahaja. Iktikaf 10 terakhir ramadhan ini amat dituntut dengan mencari keredhaan Allah dan menghindari diri dari azab api neraka seperti hadis nabi yang diriwayatkan oleh Abu Abas r.a dengan nabi bersabda

" Dan barangsiapa yang beriktikaf satu hari kerana menuntut redha Allah , nescaya Allah jadikan di antaranya dan diantara api neraka berjauhan tiga buah parit di mana jarak di antara tiap-tiap buah parit lebih jauh jarak di antara dua mata angin " At-Tabrani dan Hakim

Seperti juga Ramadhan sebagai bulan rahmat dan keampunan dari Allah s.w.t di antara 11 bulan yang lain, ia juga sebagai bulan ujian bagi umat Islam. Iktikaf 10 hari terakhir ini juga merupakan ujian sepuluh hari dari 30 hari ramadhan dengan terdapat di dalamnya malam Lailatul Qadar dan merupakan tahap ujian tertinggi di kalangan mereka yang berpuasa di bulan Ramadhan. Jadi, amat rugilah bagi sesiapa yang mengabaikan iktikaf ini seperti mana mereka yang mengabaikan bulan ramadhan itu sendiri. Selain sebagai ujian tahap tertinggi di bulan ramadhan, iktikaf juga mendidik umat dengan membina segala kekuatan untuk menempuh hidup mendatang dengan menghindar diri dari kesibukan dunia, anak dan isteri.



Antara rukun iktikaf ialah

1. Berdiam diri di dalam masjid sekurang-kurangnya sekadar tukma'ninah di dalam rukuk dan tidak keluar darinya atas sebab-sebab yang diharuskan syarak

2. Niat permulaan iktikaf dan pembaharuannya semula dengan niat
" Sahaja aku beriktikaf sepuluh akhir ramadhan kerana Allah s.w.t

3. Orang yang beriktikaf memenuhi syarat Islam, berakal, bersih dari haid dan nifas dan junub serta mendapat izin dari suaminya ( Al-Baihaqi )

4. Masjid tempat beriktikaf

Antara amalan yang dilakukan semasa iktikaf ialah

1. Solat sunat tahiyatul masjid / solat sunat wudhuk
2. Solat sunat hajat ( bertemu lailatu qadar )
3. Solat sunat tasbih
4. Solat sunat tahajud
5. Zikir
6. Tadarus Al-Quran
7. Doa

Tetapi secara umumnya nabi s.a.w melebihkan ibadah di kala iktikaf dengan seharian yang lain. Seperti hadis nabi yang diriwayatkan oleh Aisyah r. a bermaksud

" Adalah Rasulullah s.a.w pabila masuk 10 terakhir bulan ramadhan, bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah dengan meninggalkan tidur dengan isteri dan Rasullulah menghidupkan malam dengan membangunkan isteri-isteri supaya bangun beribadah bersama-samanya " ( Sahih Bukhari dan Muslim )

Di dalam kitab Al-Majmu' berkata " Adalah sangat baik bagi orang yang beriktikaf memenuhi masanya dengan amalan-amalan seperti solat tasbih, solat sunat yang lain, bertilawah, zikir, belajar dan mengajar serta membaca kitab-kitab agama "

Marilah bersama-sama kita mencekalkan diri dengan melaksanakan amalan iktikaf ini . Jika amalan Qiyamuallail merupakan aset terpenting dalam proses pentarbiyah roh kita maka Iktikaf juga menjadi satu amalan terpenting dalam menggapai Lailatul Qadar malahan lebih hebat dari Qiyamulail kerana iktikaf di bantu dengan Siyam ( puasa ) dan tadarus malahan ianya hanya di laksanakan pada 10 hari sahaja di dalam setahun. Pergantungan Qiyam dengan Iktikaf tidak dapat dipisahkan di mana Qiyam yang diamalkan sepajang tahun ini merupakan satu amalan yang disyariatkan ketika awal-awal Islam di Mekah dan Iktikaf menjadi tunjang Islam di Madinah. Subhanallah...hebatnya Iktikaf !

Sedar atau pun tidak amat sedikit sekali umat Islam terutama di bumi Malaysia ini yang mengambil kesempatan 10 hari terakhir ramadhan dengan beriktikaf tetapi dengan 10 terakhir ramadhan ini, kita mengambil peluang yang ada untuk membeli baju dan kuih raya. Teringat kata-kata Ibnu Syibab Az-Zuhri di dalam kitab Fathul Bari

" Hairan sekali keadaan orang-orang Islam! Mereka sanggup tidak beriktikaf di sepuluh hari terakhir Ramadhan sedangkan Nabi s.a.w tidak pernah meninggalkan iktikaf semenjak baginda datang ke Madinah sehingga Allah mengwafatkannya "


0 comments:

  ©Template by Dicas Blogger.

TOPO