Related Posts with Thumbnails

Harry Porter Promosikan Arak & Maksiat


Anak perempuan yang bernama Hermione (baca: Ermaini) itu mabuk. Temannya, Neville, menyiapkan botol minuman. Ron Weasley, si rambut merah, sedang mencicipi anggur memabukkan. Sedangkan Harry Potter berpesta khammer (khamar) dengan guru-gurunya.

Itulah salah satu gambaran yang mendominasi setiap filem Harry Potter, termasuk juga keluaran terbarunya, Harry Potter and The Half Blood Prince. Alkohol menjadi pemandangan yang cukup serasi. Dari satu gambar ke gambar yang lain, semua karakter di Harry Potter terlihat begitu dekat dengan minuman keras, baik para murid atau pun guru-gurunya sendiri. Ketika sedih ataupun gembira.

Filem yang diangkat dari novel karya J.K. Rowling dengan judul yang sama ini memang berjalan seiring usia para pemegang wataknya sendiri. Tidak seperti pada siri pertamanya, filem (dan novel) Harry Potter ke-6 ini sama sekali bukan filem keluarga. Banyak adegan percintaan yang muncul, seperti ciuman dan kehidupan sosial karakternya di kelab-kelab malam. Namun pemandangan minum khammer itu sangat kasar. Di filem-filem sebelumnya memang ada juga, namun dalam filem ini, levelnya jauh meningkat.

Dalam salah satu adegan, Harry, Ron, dan Hermione berpesta bir di pub, dan Hermione mengakhirinya dengan mabuk berat dan pulang dengan terpaksa dipapah oleh kedua teman laki-lakinya.

Inilah yang kini dikhuatirkan oleh para orang tua di AS dan Barat sana. Liz Perle, ibu dari dua orang anak dan pemimpin redaksi Common Sense Media yang intens membahas isi web dan filem yang ditujukan untuk anak-anak, mengatakan bahawa menegok alkohol dalam filem Harry Potter begitu mekanik. Ertinya ia memang disusun sedemikian rupa. “Hermione adalah seorang gadis belia yang terjaga, namun ia bebas minum khammer.” Ujarnya, “Pesannya sangat jelas, khammer membuat anda berani meletakkan tangan anda pada lelaki yang anda kenal.”Orang tua lainnya juga berpikiran sama. Daniel Isaacs, seorang pelaku dalam industri iklan di New York, berkata, “Nilai-nilai universal Harry Potter bukan budaya kita. Cuba meletakkan norma-norma AS tahun 2009 pada filem sangat bodoh.”

Para pendidik mengingatkan para orang tua tentang (bahaya) edukasi alkohol dalam Harry Potter, baik filem ataupun novelnya. Barat dan AS memang mempunyai perbezaan dalam urusan menegok bir. Misalnya, Britain membolehkan anak 18 tahun untuk minum. Tahun 2007, sebuah kajian di Jerman menyatakan 5,600 remajanya kecanduan minuman akibat doktrin dari filem-filem Amerika.

Warner Brothers, yang mengeluarkan filem ini, mengatakan bahawa adegan mabuk dalam filemnya memang mengundang banyak interpetasi. “Kami hanya mengikuti senario yang ditulis Rowling.” Demikian pernyataannya melalui e-mel. Sedangkan Rowling sendiri menolak untuk berkomentar.

Alison Turner, seorang ekspatariat Britain yang memiliki perniagaan internet di Florida, AS, mengatakan, “Konteks filem ini tidak nyata. Tak ada sekolah sebenar, guru sebenar, ataupun murid sebenar. Jadi, minum bir itu juga bukan sebenar. Saya kira, bahkan anak-anak tidak tahu apa bir itu sesungguhnya.” (sa/nyt)

sumber

Read more...

Baik Fikirkan Nya dari Macam-Macam

Badiuzzaman Said Nursi

I

Suasana pagi ini tampak suram dengan titisan hujan awal pagi, gelap sedikit daripada biasa dan tenang sahaja. Laluan utama saya dari Taman Melewar ke Padang Balang, keluar ke Sentul menuju ke Keramat agak perlahan hari ni, tidak seperti selalu, kurang dari 90km sejam. Sebenarnya ada dua laluan yang boleh digunakan dari rumah saya ke pejabat, tetapi saya lebih gemar menggunakan jalan ini. Pemanduan secara perlahan ini sengaja saya lakukan padahal jam sudah pukul 9 pagi. Waktu pejabat sudah bermula tetapi saya masih di jalan.

Fikiran saya rawang mengenangkan masalah-masalah yang tidak terungkai sambil memandang langit saya mencari ketenangan, melihat matahari pagi yang gelap, mungkin kerana hari ini dijangkakan seluruh Asia akan menghadapi kegelapan kerana fonemena gerhana matahari, tampak gejala ini sudah terjadi mungkin dalam 2o minit yang lalu. Zikir mathurat mengiringi pemanduan saya, sambil pemandangan jauh merenung di sebalik menara berkembar Petronas nun jauh di sana, dengan kabus-kabus melitupi ruang-ruang pemandangan. Saya memikir...dan cuba merungkai segala persoalan agar dapat saya cium harumnya ketenangan.

Ya Allah terima kasih di atas segala ujian yang Engkau salurkan kepada hamba Mu ini. Kerana ianya manis tika ku tahu ianya tanda kasih sayang Mu


Sungguh, masalah ini satu ujian buat saya, mungkin ianya sangat kecil dibandingkan dengan ujian bagi manusia lain tetapi berat hati fikiran menanggung, walau ringan mata memandang dengan tingkah dan sikap saya. Keyakinan terhadap segala yang sesuatu yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya seolah-olah tidak langsung menyentap emosi saya, mungkin hasil pengalaman dan pembelajaran mengawal emosi menjadi satu panduan terbaik saya dalam menghadap ujian ini. Sakit - sakit di kepala kembali menyerang, sejak sebulan yang lalu sakit ini menjadi-jadi, kalau dulu ianya menyerang sekali seminggu tapi bulan ini sahaja saya mengalami serangan sakit kepala hampir 2 hari seminggu. Saya akan tidur, itulah rawatan terbaik ! Rasa saya kepala sudah sesak,penuh dengan pelbagai macam dan ragam.

Seseorang yang melihat sesuatu perkara yang baik dengan pemikiran atau pandangan yang baik dan pasti dia mendapat kebaikan dalam hidup - Said Nursi

Biarlah saya memikirkan segala masalah dan ujian ini dengan satu pandangan yang baik dan positif kerana kebaikan itu akan menghasilkan kebaikan yang lebih besar. InsyaAllah....

II

Di saat-saat kata-kata Said Nursi mempengaruhi saya, seorang sahabat memaklumkan mengenai forum kupasan Risalah An Nur karya Badiuzzaman Said Nursi akan diadakan pada 24 Julai ini di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak. Hati terus berbunga, mekar dan indah menutupi masalah . Tetapi entah saya dapat pergi atau tidak ? Moga dapat saya penuhi keinginan kali ini.

III

Cuaca yang suram dan kelam pagi ini merupakan satu tanda kekuasaan Allah s.w.t dengan menampakkan putaran bulan melepasi matahari. Di mana bulan dari teori sainsnya lebih kecil dan dekat dengan bumi dibandingkan dengan matahari maka berlakulah fenomena Gerhana Matahari. Hati siapa yang tidak terdetik apatah lagi terusik melihat keajaiban dan kebesaran ciptaan Tuhan ini. Fitrah bagi setiap manusia akan mencari dan mengisafi bahawa setiap keajaiban kejadian alam ini terdapat pentadbir dan penciptanya yang paling hebat. Tentulah Allah s.w.t , Tuhan sekalian Alam. Jika di India, wanita-wanita yang sedang mengandung anak pertama di larang sama sekali berada di luar rumah kerana menurut kepercayaan mereka, gerhana akan menyebabkan berlaku perkara-perkara buruk terhadap anak dan si ibu. Di kebanyakkan tempat , gerhana merupakan satu perkara buruk dan ada juga di anggap sebagai perkara yang baik atau membawa tuah dalam diri seseorang sehinggakan fenomena gerhana ini menyebabkan ada di kalangan manusia yang menjadikan bulan dan matahari sebagai Tuhan mereka. Nauzubillah. Indahnya Islam dengan mengajar umatnya tentang kebesaran dan keinsafan diri tatkala berlaku gerhana ini. Sabda Rasullulah s.a.w ;

Sesungguhnya gerhana matahari dan bulan tidak berlaku atas kematian seseorang atau kehidupannya . Jika kamu menyaksikan gerhana, maka dirikanlah solat dan berdoalah kepadaNya - Hadis Riwayat Imam Bukhari

Kebesaran Allah meliputi segala langit dan bumi dan segala isinya dan Allahlah yang mengerakkan bulan melitupi matahari hinggakan berlakunya gerhana matahari . Betapa hebatnya Allah. Insafi diri dengan kehebatan Allah s.w.t ini menampakkan kerdilnya kita sebagai hambaNya. Tidak ada suatu pun yang mustahil bagiNya dalam segala sesuatu dan ingatkan setiap diri kita akan menghadapi Pembesar Yang Maha Hebat ini kelak dalam menilai ke arah mana setiap kita seperti Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-An'am ayat 12 ;

Hak milik siapakah yang berada di langit dan di bumi ? Katakanlah; semuanya milik Allah . Ia telah menetapkan atas diriNya rahmat. Demi sesungguhnya Dia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat yang tidak ada sebarang syak padanya. Orang-orang yang merugikan diri sendiri ( dengan mengsia-siakan kurniaan Allah ) , makan mereka ( dengan sebab yang tersebut ) tidak beriman.


Lihatlah langit dan bumi, lautan, pepohon, segala kehebatan di angkasa dan setiap kecantikan dan kehebatan ciptaan ini dan fikirkankanlah dengan iman mengenai hebatnya Allah . Fikir dan insafi diri selaras dengan firman Nya ;

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang adalah sebagai bukti dan tanda kekuasaan Allah s.w.t bagi orang-orang yang berfikir iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah s.w.t semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi sambil berkata " Wahai Tuhan kami tidaklah Engkau menjadikan semua ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka " ( Ali-Imran 190-191 )

Semoga fenomena gerhana matahari bagi tahun 2009 ini dapat menjadikan kita sebagai manusia dan umat yang berfikir dengan sentiasa menyebut dan mengingati Allah akan kebesaran nya yang menjadikan segalanya ( bulan, bintang, matahari, gerhana, langit dan sebagainya ) tanpa sebab dan sia-sia . Sesungguhnya Maha Suci Allah, Ya Allah peliharalah kami dari azab neraka . Memikirkan kebesaran dan kehebatan ini lebih menenangkan dari memikirkan masalah-masalah yang tiada kesudahan.

IV

Mungkin luahan perasaan saya akan tersalur dengan baik di Demo Anti ISA nanti. Cuma sedikit bimbang dengan penyertaan Perhimpunan Pro ISA yang akan diadakan di tempat dan tarikh yang sama dengan Perhimpunan Anti ISA , risau mereka yang buta dengan kekejaman ini akan melakukan provokasi dan mencetuskan huru hara yang mana akhirnya yang baik tampak jahat, yang benar tampak salah. Nampak agak pelik apabila mereka ini tidak mengikuti forum anjuran GMI baru-baru ini dengan pelbagai alasan tetapi berani pula berdemo menyokong akta zalim ini. Tetapi yang pastinya, Janji Allah bersama dengan yang Benar !

V

Saya berharap dan mendoakan yang terbaik buat sahabat yang akan menempuh kerjaya penuh barakah. Moga segalanya terbaik dan membahagiakan walaupun di mana berada. Sahabat pastinya yang indah - indah memenuhi ruangan hidup mu merupakan yang terindah bagi diri ini. Lupakan segala perit liku, tabahkan hati menempuh cabaran sebagai pendidik, anak, sahabat dan sesiapa jua di sekeliling . Jutaan kemaafan dari sahabat buat sahabat.

Read more...

Himpunan Mansuhkan ISA


Bagaimana kita membiarkan diri ketawa ria bersama orang-orang tersayang yang sentiasa berada di sisi sedangkan masih terdapat isteri-isteri yang dipisahkan dari suami, anak-anak yang tidak mengerti kasih seorang ayah, ibu ayah yang merindui anak-anak yang entah mengapa mereka di tahan ? Atas kesalahan apakah mereka di bawa ke Kementa ? Tiada perbicaraan ? Di mana bukti kesalahan mereka ? Setiap kita tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah !

Jadi apakah peranan kita dalam menentang akta zalim ini ? Apakah peranan kita sebagai seorang muslim kerana Islam sendiri menentang sesuatu yang bersifat zalim bahkan Islam mengajar setiap manusia itu tidak bersalah sehingga terdapat bukti-bukti kukuh yang mengatakan bersalah.




Demo lagi 1hb Ogos 2009 ini...mari kita semua bersatu hati menentang Akta paling tidak bermoral ISA ! Bebaskan Tahanan ISA ! Bebaskan Mereka ! Bicara Dengan Adil !


Hebahkan kepada semua rakyat ...........mari kita bersatu menentang kezaliman.!!



Read more...

Di gelar Llama



Az_abrar digelar Llama oleh Guardian Weekly hari ini. Semuanya gara-gara menjawab soalan kuiz isu semasa dan mendapat markah paling tercorot. Hendak bangga apa dengan 5 betul dari 10 soalan yang diberi. Barulah az_abrar tahu, rupa-rupanya dia tidak mengikuti perkembangan semasa dunia dewasa ini. Kerja di pejabat yang bertimbun-timbun dari pagi hingga ke petang, malamnya akan bergegas ke mesyuarat macam-macam. Entah bila agaknya dia sempat membelek surat khabar Malaysia yang hampas ! ataupun menononton Buletin Utama TV3 yang dianggap koya dan mendengar radio yang poyo. Semuanya membantut selera untuk mengetahui keadaan semasa dari media-media Malaysia. 1Malaysia sungguh !

Waktu senggang yang ada, az_abrar cuba meninjau media-media alternatif, sedikit dari Malaysiakini yang dia anggap mempunyai agenda tersembunyi dengan menyiarkan berita yang paling up to date tetapi kurang tepat. Kurang menyenangkan juga Harakahdaily yang lambat update dan hanya menumpukan kepada isu politik semata.

Akhirnya, antara pilihan yang ada antaranya The Guardian Weekly. Selalu sahaja dia menjawab soalan-soalan kuiz dari pilihan soalan kepada pembaca oleh Guardian Weekly tetapi selalu sahaja mendapat gelaran Llama iaitu gelaran paling teruk bagi seseorang yang mempunyai IQ yang rendah . Llama yang terbaru ini agak besar dan tampak comel sahaja dan antara lima soalan yang gagal ialah :

  1. Berapa lamakah Bernard Madof di penjarakan atas kesalahanya ?
  2. Manuel Zelaya ialah presiden negara apa ?
  3. Siapakah/negara manakah yang mengambil alih Kesatuan Eropah dari Repubik Chech ?
  4. Tentera memaksa kanak-kanak bekerja di Diamond Mines di daerah Marange yang terletak di negara mana ?
  5. Di manakah Novelis penuh konterversi Nadim Gursel di lahirkan ?

Tetapi masih ada lagi lima soalan-soalan sebegini yang berjaya di jawab :) Mungkin nanti Llama ini akan bertukar menjadi E.Ferus atau Sampson tahun 1800 atau mungkin juga menjadi Arabians Morgan. Adakah mustahil seperti Burak ?
He..he..he..

Entahlah...

Read more...

Nisa' Teen Circle


Keterangan lanjut sila layari http://nisagombak.blogspot.com

Read more...

Galaksi Kita akan Bertembung

Kita berada di bumi. Bumi dan planet-planet dalam Sistem Suria ini mempunyai satu bintang iaitu matahari. Bintang kita iaitu matahari berada dalam sebuah galaksi yang sangat luas, dinamakan Galaksi Bima Sakti.

Selain matahari, terdapat banyak lagi bintang-bintang lain dalam Galaksi Bima Sakti ini. Banyak pula yang jauh lebih besar daripada matahari. Dianggarkan ada 100,000,000,000 bintang (matahari) dalam Galaksi Bima Sakti. Bayangkan, alangkah luasnya galaksi yang sedang kita diami ini...

Itu baru satu galaksi, sudah terlalu luas bukaannya. Galaksi Bima Sakti hanyalah 1 daripada lebih kurang 10,000,000,000 galaksi lain yang berada di bawah Langit Pertama. Terasa mahu pecah minda kita sewaktu hendak membayangkan keluasannya. Allahu Akbar.

Berbalik kepada cerita Galaksi Bima Sakti yang kita sedang berada di dalamnya ketika ini. Ada sebuah galaksi lain terapung-apung berhampiran dengan galaksi kita ini. Kita menamakannya Galaksi Andromeda. Sesekali ia bergerak hampir dengan Galaksi Bima Sakti dan sesekali menjauh. Kajian sains menjangkakan Galaksi Andromeda ini akan bertembung dengan Galaksi Bima Sakti suatu waktu nanti.

Bayangkan... Galaksi Bima Sakti dengan ribuan juta bintang dan Galaksi Andromeda yang mungkin juga mengandungi ribuan juta bintang saling menerpa satu sama lain. Kemudian isi kandungan masing-masing akan bertembung. Jutaan bintang (matahari) dari Bima Sakti akan bertembung dengan jutaan bintang (matahari) dari Andromedia. Manakala saki-bakinya saling berselisih antara ruang-ruang kosong yang ada.

Pertembungan dua raksasa langit ini menghasilkan jutaan ledakan besar di serata langit kedua-dua galaksi. Graviti menjadi kacau. Saintis menjangkakan matahari kita, sekalipun terselamat daripada pertembungan tetapi akan terpelanting keluar dari Galaksi Bima Sakti buat selama-lamanya. Alangkah besarnya huru-hara pada hari tersebut!

Namun begitu, kita tidak perlu khuatir, kerana kita ada masa 4 billion tahun lagi sebelum peristiwa itu dijangka berlaku. : )


Pertembungan Bima Sakti dengan Andromeda

Read more...

Walimah Sahabat's


Belum terlambat bagi saya mengungkap kata-kata tahniah dan rasa gembira dengan perkahwinan dua orang sahabat ( adik beradik lain ibu dan bapa ). Dekma & Ust.Taufik, K.Wani & Ust. Ubais, K.Dayah & Akh Rashid. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t sentiasa dilimpahi buat ketiga-tiga pasangan ini. Mawaddah warahmah bisa terurai dengan ikatan suci penuh barakah.
Teringat kata-kata Kak Dayah semasa usrah yang lalu, jangan cuba menampah nanti terlekat sudah bila belum waktunya . Maka, yang indah itu hilang seri yang mendatang jadi peri,rosak ummah kerana nafsi-nafsi .

Tahniah buat sahabat Siti Fatimah Hidayah dan pasangan Ustaz Taufik

Cinta yang terhasil dipendam antara dua jiwa, membiarkan syariaat terjaga lagi maha terpelihara. Takut-takut nafsi ini jadi mengada-ngada lalu yang kecil di jaga penuh berhati-hati tetapi yang besar dilanggar sesuka hati. Biarlah cinta dari awal hingga akhir kerana cinta itu milik Allah selayaknya.

Ada permata di dalam tangan,
Dibungkus dengan kain baldu,
Jika bercinta menyesal jangan,
Ada rang tua sembunyi rindu

- Azizi Abdullah - Sangheeta



Tahniah buat sahabat Nisa' Kak Hidayah dan Akh Rashid

Sesak juga saya melihat kesibukan bermacam-macam sebelum sahabat-sahabat ini mengikat cinta bersama pasangan masing-masing. Manakan tidak, segalanya seperti serba tidak lengkap, padahal bagi kami yang melihat rasa seperti mudah, Tetapi realiti bagi yang berkahwin, semuanya melalui saat-saat sebegini. Itu ini begitu begini......


Harban Dewa anaknya Zanggi
Manis rupanya elok bercahaya
Jika perempuan taatkan laki
Beroleh syurga jannatul Mahwa

Kelat sekali buat peria
Kelatnya kurang buah dibelah
Taatkan laki beroleh syurga
Taat mutlak semata kepada Allah


- Pantun Adat-

Biarlah perkahwinan ini menjadi satu titik tolak perubahan yang terbaik, bukan sekadar untuk diri sendiri bahkan untuk setiap makhluk yang berada di sisi . Perubahan yang baik merupakan salah satu hikmah dalam perkahwinan. Jika sebelum ini hanya memikirkan keadaan diri bahkan diri sendiri pun tidak difikirkan ( kesihata, kewangan, dan lain-lain ) bukanlah perkara penting untuk diri tetapi kini semuanya serba penting dan perlu difikirkan. Perubahan-perubahan positifi ini hanya terhasil jika dipaksa atau terpaksa dengan situasi. Indahnya hikmah perkahwinan itu.



?

Masih menunggu foto Kak Wani & Ust. Ubai


Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

- Filem P.Ramlee - Gurindam Jiwa 1966 -


Gembira melihat sahabat-sahabat berjaya menunaikan salah satu syariat dalam agama dengan hikmah perkahwinan ini terjaga dan terpelihara. Hasilkan pengertian " Allah menjadikan manusia berpasang-pasangan. Menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan zina " dengan lahirnya sefahaman antara satu sama lain, eratnya silaturahim antara kedua-duanya dan moga melahirkan zuriat pembela agama. Tahniah !

Read more...

Pengganggu Mengganggu

Tengah hari tadi (Rabu 1 Julai 09), ada seorang budak perempuan berusia 13 tahun kerasukan. Sudah hampir setahun masalah gangguan sebegini tidak berlaku di sekitar sini. Kebetulan saya lalu berhampiran tempat kejadian. Dua orang budak lelaki memberitahu saya ada seorang budak perempuan menjerit-jerit, berkelakuan ganas dan merenung macam "nak makan orang". Saya pun melangkah ke arah tempat yang ditunjukkan.

Seorang budak perempuan duduk memeluk lutut di lantai. Dia merenung wajah saya sebentar dengan pandangan yang ganas, kemudian menundukkan sedikit pandangannya. Saya meneruskan zikir khafi sambil mengamat-amati keadaan budak itu dalam jarak 10 kaki. Turut berada di sana ialah dua orang teman saya yang bertindak sebagai pengawal kerana budak itu asyik cari peluang untuk melarikan diri.

Budak ini badannya besar walaupun masih muda. Sekali dilesingnya saya mahu terlambung dibuatnya. Tiba-tiba dia bangun dan meluru mahu melarikan diri. Kami bertiga menyekat lalu memujuknya. Nasib baik dia mahu juga menurut walaupun bunyi mendayu dan sesekali menderam semakin kuat.

Saya duduk bertinggung di sebelahnya lalu meminta izin untuk berdoa. Walaupun dia tidak menjawab, saya tetap akan berdoa juga. Saya mulakan dengan kalimah syahadah, selawat, bismillahillazhi, al-Fatihah dan ayat Kursi. Tiba di penghujung ayat Kursi deramannya semakin kuat. Gerun mendengar suaranya. Badannya mengejang dan air matanya tiba-tiba jatuh bercucuran. Berdasarkan pengalaman saya, keadaan begitu menunjukkan ada jin yang sedang melepak di dalam badan.

Penghujung ayat Kursi saya ulang 3 kali lalu dihembus ke arahnya. Kemudian disambung dengan surah al-Hasyr (Lau anzalna). Belum pun habis, tubuhnya bergetar-getar lalu mengendur. Akhirnya perlahan-lahan dia jatuh terlentang. Walaupun matanya masih tertutup, tapi nampak dia bernafas lega. Biasanya keadaan begitu menunjukkan si jin sudah keluar.

Untuk memastikan, biasanya saya bertanya, "Dia dah keluar ke?" Cara menjawab si mangsa akan menunjukkan sama ada si jin masih bersarang ataupun tidak. Alhamdulillah syukur, senang pula keluar kali ini.

Seterusnya saya minta budak itu membiasakan berzikir "Allahu Akbar". Saya tanya, "Tengah period ke sekarang?" Oleh kerana dia tidak uzur, saya minta dia mengulangi membaca surah an-Naas. Doa saya juga saya tutup dengan surah an-Naas dan dihembuskan kepadanya. Saya mengingatkan dia agar meneruskan bacaan berulang kali kerana si jin tidak mustahil boleh masuk semula.

Budak itu dihantar pulang ke rumahnya oleh seorang wanita. Saya lihat keadaannya belum begitu stabil kerana masih lemah dan berkata, "Saya takut.. saya takut..". Menurut kawan-kawannya, budak itu sering mendakwa melihat makhluk-makhluk aneh di sekelilingnya walaupun pada waktu siang dan di khalayak umum. Ada kalanya dia melihat kepala terbang. Ada kalanya terdengar suara mengejeknya. Kesian dengan keadaannya.

Wallahualam.

Itu pengalaman berjaya. Ini nak cerita pengalaman tak berjaya pula.

Kisah berlaku tahun sudah melibatkan seorang remaja perempuan. Oleh kerana beberapa orang teman tidak berjaya merawatnya, mereka membiarkan saja dia terbaring di dalam surau. Kelihatannya dia "sejuk" sedikit.

Saya masuk berseorangan. Setelah meneliti keadaannya dalam jarak lebih kurang 3-5 kaki, saya pun memulakan doa. Rupa-rupanya kawan kita yang duduk di dalam badan remaja ini jenis berang. Dia mencakar-cakar dan mencari saya. Alamak, habis aku!

Sebagai langkah keselamatan, saya berpindah ke bahagian kepala. Dia dalam keadaan menelentang. Dalam kedudukan begitu saya agak selamat. Tangan kanan saya dihalakan ke kepalanya lalu saya meneruskan doa. Tangan saya pula menjadi sasaran cakarannya. Matanya merah menyala dan suaranya penuh kegeraman dan kebencian.

Bonus untuk saya, satu sepakannya hinggap juga ke kaki saya. Kurang asam boi punya jin! Dalam keadaan terlentang begitu, dia melonjak-lonjakkan badannya ke belakang mengejar saya. Memang letih juga dibuatnya. Dua tiga pusingan saya doakan, si jin masih berdegil. Air surah Yaasin yang tersedia di situ sudah banyak direnjiskan tapi kawan kita masih bertahan nampaknya. Jelas kali ini doa saya tidak dimakbulkan Tuhan sepenuhnya. Untuk mengusir tidak berjaya, sekadar untuk membuatkan si jin tidak selesa saja.

Kemudian datang Ketua Balai Polis berpakaian biasa. Secara kebetulan dia ada dekat-dekat situ. Ada ilmu juga orang tua ni. Dia mengarahkan tapak tangannya dari jauh ke arah muka budak tadi sambil membaca beberapa ayat ataupun doa ringkas. Saya perhatikan kemuncak doanya berbunyi lebih kurang , "Allah al-Haqq". Kena bahagian itu, si jin meronta-ronta dengan agak kuat. Beberapa kali diulang oleh Ketua Balai Polis, keputusannya masih sama. Si jin mampu bertahan. Ketua Balai Polis pun pulang begitu saja.

Kesudahannya, budak ini dihantar pulang oleh beberapa orang teman saya.

Ini yang paling garang dan paling ganas yang pernah saya hadapi. Nasib baik dia tidak bangun berdiri, kalau tidak... silat seribu langkah kuaturkan.


Empat tahun sudah, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun jadi mangsa. Yang ini jenis "kuat". Saya tiba di lokasi bersama-sama dua orang teman. Ketika kami sampai, dia memang sedia berang dan meronta-ronta kecil. Ketika kami mendekatinya, dia meronta-ronta dengan kasarnya.

Risaukan keselamatan dirinya dan juga orang lain, kami terpaksa menangkapnya. Kedua-dua orang teman saya memegang tangannya di kiri dan kanan, manakala saya mengunci lehernya dari belakang. Keadaan darurat, terpaksalah bersentuhan.

Hendak tahu apa jadi? Kami bertiga hampir-hampir terpelanting! Dibawanya kami ke serata arah. Memang kuat betul tenaganya. Bayangkan, tiga orang lelaki dewasa dihayun ke sana ke mari oleh seorang remaja perempuan 15 tahun yang kurus kecil saja badannya.

Akhirnya dia berjaya juga dibawa ke sebuah bilik. Berangnya semakin menurun tapi asyik menangis tersedu-sedu. Yang ini Alhamdulillah, saya bacakan satu pusingan doa saja kawan kita di dalam itu pun cabut. Kalau tak silap dia cabut ketika saya membaca surah an-Naas.

Walaupun jenis kuat/ gagah, tapi mudah mengalah dan lari keluar. Jenis ini lebih baik daripada yang mencakar-cakar di atas tadi, seram betul tengok rupa dia.

Allahu Akbar.



Abu Zulfiqar 'Alexanderwathern'.

http://alexanderwathern.blogspot.com/2009/07/pengganggu-mengganggu.html

Read more...

Telusi Animasi



" Ooo...tapi skit yang dia tulis kat sini. Perkataan karisma pun takde kat sini "

" Eh..nama saya lebih kurang dengan perkataan karisma. Karisma tu bermaksud kualiti atau sifat tertentu seseorang yang membuat dia berupaya menjadi perangsang kepada alam dan manusia."

" Ohhh...bencana alam seperti gempa bumi, banjir dan tanah runtuh akan melanda tanpa kita duga lah...? "

" Bukan bencana alam lah..."

" Habis tu alam apa ? Alam maya atau ilmu alam ?.."

" alamak...."


Begitulah bait-bait dialog yang kedengaran menyesakkan jiwa tatkala menonton siri animasi Shin Chan. Dialog antara Shin Chan dan Tukang Gunting Rambut yang berkarisma itu begitu santai dan sedikit humor di dalamnya. Watak Shin Chan ini mulanya terhasil di ruangan majalah harian Jepun, Weekly Maya Action terbitan Futbasha dan mula disiarkan dalam bentuk animasi T.V pada tahun 1992 oleh TV Asahi. Watak ini mula mempengaruhi masyarakat Malaysia sejak di tayangkan oleh stesen t.v tempatan NTV 7 sekitar tahun 2001 sehingga sekarang. Sedar atau tidak, watak-watak animasi dari Jepun ini sedikit sebanyak mempengaruhi tingkah laku sosial anak-anak mahupun ibu bapa itu sendiri. Contoh pengaruh negatif dapat dilihat melalui watak budak Shin Chan ini yang bagi saya mempunyai nilai moral yang rendah melalui komunikasi,ucapan lisan dan tingkah lakunya yang dianggap tidak sopan memungkinkan anak-anak dipengaruhi sentimen nakal ' bukan pada tempatnya'.



"Bertukar....."
"*#?&%@# .. " ( saya tidak faham bahasanya )

Saya ketawa menggeleng kepala melihat telatah anak-anak saudara yang telah pun dipengaruhi oleh watak animate lama dari Jepun iaitu Ultraman. Sungguh saya hanya mengenali Ultraman sahaja tetapi rupa-rupanya Ultraman ini mempunyai bebarapa nama walaupun wajah dan fizikal yang hampir sama. Ultraman Q, Ultra Seven X, Ultraman Ace, Ultra Galaxy, Ultraman Taro, Leo, Dyna, Gaia, Cosmos dan lain-lainnya. Banyaknya ultraman, tentu aman dunia ! Fuh....

Gambaran watak hero yang dimainkan oleh ultraman menentang kejahatan raksasa yang mengancam tamadun manusia membawa satu sisi nilai positif kepada anak-anak yang secara langsung mendidik mereka merasa sesuatu yang bersifat jahat itu perlu ditentang tetapi sayang fantasi yang berlebihan di dalam animasi ini akan menutup sisi positif tadi. Apa yang membimbangkan ialah pemikiran dangkal anak-anak akan terbentuk apabila mereka melihat seorang pencuri ( penjahat ) yang memakai kostum ultraman lalu dianggap hero masyarakat . Di sinilah pentingnya peranan psikology kanak-kanak dimainkan.



Bukanlah semua animasi itu membawa kesan negatif kepada kanak-kanak. Sesuatu yang baik dan positif perlu diperluaskan dan dinilai dari sudut yang lebih besar. Semangat kekeluargaan, persahabatan dan kemanusiaan yang ditunjukkan oleh animasi merupakan satu wadah didikan yang baik untuk anak-anak. Muzik, nyanyian dan lukisan merupakan salah satu kaedah pembelajaran yang berkesan dewasa ini. Saya sendiri menyukai kaedah pembelajaran seperti ini kerana memudahkan penghafalan sesuatu yang berbentuk ilmiah.

Menghafaz Nama-nama Nabi, Malaikat, Sifat 20, bulan-bulan Islam dan sebagainya melalui kaedah nyanyian yang disampaikan oleh Raihan dan Yusuf Islam amat membantu kaedah pendidikan kini dan ianya amat berkesan membawa impak yang positif. Mungkin kaedah pembelajaran inilah yang cuba disampaikan oleh Josh Seling melalui watak-watak yang dimainkan di dalam animasi The Super Singing Wonder Pets atau secara ringkasnya Wonder Pets. Watak seperti Linning The Guinea Pig, Turtle Tuck dan Ming-Ming Duckling yang merupakan rakan sekelas, berkerjasama membantu haiwan-haiwan lain.



" Maklang..adik nak jadi macam Wonder Pets ! " Danish, anak saudara saya berumur 3 tahun begitu teruja ingin menjadi seperti Wonder Pets.

" Hah..Wonder Pets ? " saya belum pernah mendengar mengenai Wonder Pets. Takut dan risau dengan apa yang diluahkan Danish akhirnya memungkinkan saya menonton animasi ini.

Melihat bebarapa jenis binatang yang berada di dalam kelas menerima panggilan telefon dan terus menyanyi,

" Telefon.....telefon berbunyi "
" Telefon..kami datang "
" Ada haiwan dalam bahaya "
" Ada haiwan dalam bahaya "
" Ada haiwan dalam bahaya di sana..."

Lalu, geng Wonder Pets melihat seekor anak Flamingo terperangkap di dalam paya lalu menyanyi..

" Itu anak Flamingo, terperangkap di dalam paya.."
" Ini serius"
" Mesti tolong dia "
" Selamatkan anak Flamingo "

Mereka ( Wonder Pets ) terjun ke dalam kotak dan menukar pakaian penyelamat sambil menyanyi

" Linny..."
" Tuck..."
" Dan Ming-Ming juga "
" Wonder Pets datang membantu..."

Wonder Pets membina flyboat dengan nyanyian selingan

" Apa yang penting ? "
" Kerjasama "
" Apa yang penting ? "
" Kerjasama "

Saya tertawa sebentar mendengar Danish menyanyi sambil terkebil-kebil menonton bersama. Setelah anak Flamingo diselamatkan, ibu Flamingo terus mengucapkan terima kasih kepada Wonder Pets. Expresi kegembiraan mereka dinyatakan dengan nyanyian

" Wonder Pets ! Wonder Pets dah berjaya membantu anak Flamingo dalam kesusahan "
" Kami tak besar "
" Dan kami tak kuat "
" Bila bekerjasama semua jadi mudah "
" Hey..Wonder Pets...Wonder Pets ! "

Mereka kembali ke sangkar masing-masing di dalam kelas tadi. Danish menepuk tangan, melompat-lompat kerana berjaya menyelamatkan anak Flamingo. Saya senyum...dan anda sendiri dapat menilainya dari sudut pandangan tersendiri melalui nyanyian animasi ini.

Animasi...jangan melatah malahan fikir dan telusi sifatnya dari pelbagai sudut demi ummah mendatang.


Read more...

  ©Template by Dicas Blogger.

TOPO