Related Posts with Thumbnails

Susan, Makcik & Lelaki Berambut Panjang


" Panjangnya rambut dia " seorang makcik melantunkan ayat tersebut sebaik sahaja melihat seorang lelaki yang berambut panjang paras bahu dengan mengenakan kopiah di kepala,berseluar panjang jeans lusuh. Lelaki bercermin mata hitam itu saya kenal, tidak terlalu rapat tetapi saya kenal orangnya.

Makcik tadi menyiku saya, sambil mengulang ayat tadi dan menjeling ke arah lelaki tersebut. Saya hanya tersenyum. Entah apa yang difikirkan makcik ini terhadap lelaki bercermin mata hitam itu. Tetapi dari tindakannya saya pasti makcik ini cuba menghakimi lelaki ini, tetapi saya diam sahaja sambil meneruskan kerja saya. Makcik tersebut terus menyiku saya dan berbisik

"Siapa orangnya ni ? Macam mana boleh masuk dalam office ni ? ishhh..." bertalu-talu soalannya dilontarkan kepada saya.

Saya cuba mengelak menjawab soalan-soalan tersebut atau dengan erti kata yang lain saya malas hendak berbual-bual dengan makcik ini, kerja saya tidak pernah kurang malahan makin bertambah, jika saya melayan dia berbual, saya pasti kerja-kerja saya tidak pernah akan siap.

Pap !

Kali ini dia menampar bahu saya, jelas dia ingin membawa saya berbual-bual dan kemungkinan besar mencetuskan gosip hangat hari ini.

"Saya letih makcik, saya banyak kerja, biarlah dia masuk dalam office ni makcik..makcik pun dibenarkan masuk kenapa pulak orang lain tak boleh masuk? " semua jawapan saya kemukan tetapi sayangnya hanya di dalam hati. Tidak sampai hati untuk meluahkan kepada makcik ini.

Saya terus tersenyum sambil membuat kerja-kerja saya di hadapan komputer, makcik tersebut masih memerhati lelaki bercermin mata tadi, sambil matanya terus menjeling ke arah saya. Saya tahu kemungkinan besar makcik ini marahkan saya kerana tidak mengendahkannya.

" Yash..boleh tolong makcik ni tak ? Dia ada masalah dengan JPN. Masalah biasa lah tu . " tiba-tiba seorang sahabat saya menyapa lelaki bercermin mata tersebut. Sambil memperkenalkan dia kepada makcik tadi yang memerlukan pertolongan.

Lelaki berambut panjang dan bercermin mata hitam bernama Yash itu senyum memandang makcik tadi.

Saya mengambil kesempatan melihat makcik tadi, ingin sekali melihat reaksinya . Dia memandang Yash antara senyum atau tidak, saya tahu dia malu sendiri. Yash inilah lelaki yang akan menolong makcik ini menyelesaikan masalahnya yang bagi saya satu masalah yang agak rumit. Makcik tersebut memandang saya, saya senyum lagi tetapi kali ini senyuman saya dibalas dengan ayat

" Makcik minta maaf ya ! "

Saya buat-buat tak dengar........( untuk menutup rasa malu makcik )...sambil saya tersenyum lagi melihat Yash membawa makcik ini keluar dari pejabat .

Pengajaran untuk saya hari ini, janganlah bersalah sangka terhadap orang lain. Cubalah mengelakkan diri kita dari menghakimi seseorang yang pertama kali kita bertemu. Mana mungkin kita mengatakan orang itu begini, begitu padahal kita tidak pernah mengenalinya. Kerana kemungkinan besar kita akan menjadi seperti makcik di atas. Orang yang cuba di lekehkannya itulah orang yang akan membantunya.

" Barangsiapa yang menyukai apabila Allah menutupinya
dengan kebaikan hendaklahdia bersangka baik dengan manusia "

Teringat saya pada Susan Boyle dari West Lothian, Blacburn. Wanita berumur 47 tahun ini tidak pernah dikenali sesiapa pun malahan personalitinya sendiri dipertikaikan setengah pihak. Seorang yang bercita-cita ingin menjadi penyanyi profesional ini pernah diketawakan orang ramai yang sebelum ini tidak pernah mendengarnya menyanyi. Namun kini segalanya berubah baginya. Be Yourself Show Ur Talent Susan !


1 comments:

e_funZ Monday, April 27, 2009 12:45:00 PM  

Wah!cerita teladan yang bagus.
Syabas dari saya, az_abrar! =)

  ©Template by Dicas Blogger.

TOPO