Beberapa Kesedihan Di Sekeliling
Seorang teman sekerja mendapat musibah. Suaminya yang ramah terpaksa dipotong kaki kerana penyakit. Hiduplah dia dengan seorang suami yang kini sukar untuk bergerak bebas. Saya turut berkongsi simpati.
Seorang lagi teman sekerja baru kehilangan suami tercinta. Dalam usia 30-an, si suami tiba-tiba mengadu sakit di bahagian tengkuk. Ketika duduk berehat sebentar, terus koma- kena strok. Awal paginya koma, tengah malamnya dijemput Ilahi. Tinggallah si isteri dengan lima orang anak yang masih kecil-kecil. Kami semua rakan sekerja bersedih.
Semalam, berdekatan tempat tinggal kami berlaku kebakaran. Tiga orang kanak-kanak berusia 7, 4 dan 2 tahun meninggal dunia dibaham api. Ibu bapanya yang hidup benar-benar dhaif pergi membasuh kain 1 kilometer dari rumah, anak-anak dikunci dalam rumah yang bertaraf pondok sebenarnya. Dua orang daripadanya hangus dalam keadaan berpelukan. Saya amat sedih mengenangkan nasib anak-anak itu. Ibu bapa mereka tentulah jauh lebih pilu.
Di sinilah pemahaman ilmu tauhid memainkan peranan. Apabila kita memahami keEsaan af'al, sedikit-sebanyak kesedihan kita terubat... kerana kita faham semuanya "gerak Allah".
Tuhan Maha Mengetahui, Maha Adil, Maha Belas Kasihan...
Ya Allah, janganlah Engkau menguji kami dengan kesedihan-kesedihan yang berat, kesedihan-kesedihan yang berturut-turut datangnya. Kerana kami sangat lemah untuk menanggungnya. Dan Engkau kuatkanlah hati-hati kami. Hanya Engkau yang Maha Berkuasa.
0 comments:
Post a Comment