Cantiknya sastera ; Manisnya politik
Berkesempatan menghadiri forum PPSMI di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak semalam membuahkan satu pemikiran yang baru terhadap dunia politik dan falsafah kini. Dahulu agak pelik bagi kita mengungkapkan falsafah bersama politik, ianya seperti sesuatu yang amat jauh berbeda dan terpisah. Tetapi semalam, bukan sahaja falsafah itu menjadi sesuatu yang amat mantap malahan politik yang kini sinis tiba-tiba menjadi manis bagi saya. Forum intelektual seperti ini sepatutnya dijayakan dengan penuh intelek oleh panelis-panelis yang intelek dan penonton yang intelek malahan di adakan di tempat yang berintelektual seperti UIA tetapi proses intelek ini tercemar juga akhirnya akibat dangkalnya ilmu dan pengetahuan seorang ahli panel forum. Entah bagaimana ahli parlimen dari parti ini boleh dibiarkan berdialog bersama-sama tokoh sastera terkenal Dr. Hasan yang juga Pengerusi GMP. Saya tidak mengatakan beliau tidak bijak tetapi saya dan setiap ahli forum yang lain pastinya merasakan sedikit terganggu dengan karenah dan cara yang kurang sesuai dengan tajuk forum. Point berkaitan tajuk tidak ada tetapi mahasiswa yang kebanyakkan ahli forum pula menjadi isunya. Mujurlah keadaan seperti itu berjaya diubati oleh ahli panel yang lain, Dr. Hasan berjaya membawa ahli forum meninjau kejayaan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca pada abad ke 15 dan 16 dahulu di tambah dengan YB Salehuddin yang merasakan bahasa Melayu perlu dan terus diperkasakan dan dalam waktu yang sama bahasa Inggeris juga perlu diutamakan sebagai satu tuntutan ilmu.
Gerakkan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris ini bukan satu gerakan baru, tetapi ianya telah lama di lakukan oleh PAS sejak mulanya dasar ini diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir tetapi suasana rakyat diwaktu itu tidak memihak kepada pembangkang di dalam apa juga isu yang dibahaskan kerana ada sedikit ketakutan di kalangan rakyat yang tidak bersetuju dengan dasar ini. Walau bagaimanapun, selepas gelombangPRU baru-baru ini, suasana takut bertukar menjadi satu keberanian rakyat untuk menyuarakan apa jua ketidakpuasan hati terhadap kerajaan menajadi satu tenaga baru kepada pejuang-pejuang lama untuk terus bangun membantah dasar ini. Banyak kajian dan pandangan ilmiah dari tokoh-tokoh bahasa dan sastera akan kepentingan pembelajaran subjek ini di dalam bahasa kebangsaan, tetapi kerajaan sepertinya menolak terus pandangan ahli akademik ini sehingga memungkin mereka yang cintakan bahasa Melayu akan menyatakan protes mereka di jalanan pada 7 Mac ini.
0 comments:
Post a Comment