Tentang Ular
MAKLUMAT 1:
Ular tidak pernah mengerdipkan matanya, kerana ular tidak punya kelopak mata.
Hal ini menjadikan penglihatan ular cukup tajam. Penglihatannya tidak dapat dilekakan. (Dalam pembelajaran seni tempur dan beladiri, ada guru-guru berpesan supaya kita menyerang lawan ketika lawan mengerdipkan mata. Walaupun kerdipan itu menutup pandangan lawan sekadar tidak sampai satu saat, tetapi peluang itu sangat berharga untuk mengelirukan serangan. Jika lawan tak serang-serang juga, alamatnya kita kenalah jegilkan biji mata sepanjang pertembungan itu. Ataupun pakailah cermin mata hitam agar lawan tidak perasan waktu kita mengerdipkan kelopak mata). Namun begitu, ada ular yang penglihatannya jadi kabur ketika ia marah.
Nampaknya kita tidaklah perlu risaukan sangat ular yang sedang terbuka matanya kerana mungkin ketika itu ia sedang lena dibuai mimpi. Tapi jangan lupa, ular begitu sensitif terhadap pergerakan di alam sekelilingnya.
MAKLUMAT 2:
Ular tidak punya telinga. Ia mengesan bunyi melalui getaran tanah.
Beruntungnya kita manusia punya kelopak mata untuk tidur lena, menyelamatkan mata daripada dimasuki benda-benda kecil, mengelakkan kepedihan, menenangkan fikiran dan lain-lain. Beruntungnya kita kerana punya telinga untuk mendengar, untuk diambil pahala ketika bersuci, untuk dijadikan tapak kepada anting-anting dan sebagainya. Pernahkah kita bersyukur?
MAKLUMAT 3:
Ular menelan, tidak mengunyah.
Apalah lazatnya terus menelan tanpa mengunyah seperti ular dan buaya? Untung kan jadi manusia? Cuma salah satu kebaikannya ialah menjimatkan masa. Tapi jangan kita pula makan seperti ular, nanti perut tidak cukup kuat untuk menghadamkan makanan. Datang pula penyakit lain.
MAKLUMAT 4:
Ular mengesan bau menggunakan lidah.
Masyaallah, hebatnya! Patutlah lidahnya terjelir ke sana sini. Perlakuan ini juga jangan kita tiru, nanti dikata tidak siuman kerana asyik terjelir-jelir.
MAKLUMAT 5:
Terdapat 2700 jenis ular dalam 30 rumpun keluarga.
Besar juga keluarga ular ni.
MAKLUMAT 6:
Badan ular tidak basah dan tidak berlendir sebagaimana yang mata kita sangkakan. Kulitnya kering dan sejuk.
Saya pernah memegang ular tetapi tidak terperasan pun akan hal ini. Memang betul kulit ular nampak macam basah, berlendir, berkilat dan segar tetapi hakikatnya tidak. Banyak lagi kejadian alam ini yang membuatkan mata kita tertipu. Kalau belut memang licin, basah dan berlendir.
MAKLUMAT 7:
Ular bersalin kulit mulai dari kepala.
Maka ular tidak perlu risau tentang jerawat, jeragat, panau, kayap, kurap, kedut dan lain-lain seperti manusia. imat duit. Tak perlu juga buat pembedahan ataupun suntikan.
MAKLUMAT 8:
Ular terberat di dunia ialah dari jenis anaconda.
Tapi tidaklah seberat anaconda dalam filem.
MAKLUMAT 9:
Ular senduk boleh terus mematuk sebaik-baik sahaja menetas.
Ini baru betul dikatakan “kecil-kecil cili sos thai”.
MAKLUMAT 10:
Ular orok-orok (rattles) melahirkan anak, tidak bertelur.
Ular jenis ini antara yang terbisa. Kelebihan yang Tuhan beri kepadanya ialah mampu membidankan diri sendiri.
MAKLUMAT 11:
Setiap kali ular orok-orok bersalin kulit, gelang baru akan tumbuh di ekornya. Gegelang ini terkenal kerana goncangan dan bunyi gemersiknya. Kejadiannya sama seperti kuku manusia.
MAKLUMAT 12:
Pakar ular dinamakan herpetologi.
MAKLUMAT 13:
Ular terkecil di dunia ialah ular benang di Hindia Barat. Jika karbon sebatang pensel dikeluarkan, ular benang boleh masuk ke dalam lubang pensel itu.
MAKLUMAT 14:
Larian manusia adalah lebih laju daripada ular.
Kelajuan ular hanya sepantas manusia berjalan. Oleh kerana ketakutan, kita menyangkakan ular yang mengejar lebih laju daripada kita.
Abu Zulfiqar “Alexanderwathern”
(14 maklumat di atas terdapat dalam buku bertajuk :Ketakjuban Ular” oleh Alexandra Parsons, diterjemahkan oleh Grace Lau, Vinpress Sdn Bhd 1997)
Read more...