Pilihanraya ke-12
Banyak keputusan mengejutan berlaku dalam pilihanraya terkini. Kerakusan BN untuk mengekalkan pemerintahan di Terengganu menyebabkan BN terlepas negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Sudah pasti perhitungan sebegini tidak berbaloi. Namun kita faham betapa berharganya Terengganu, atau lebih tepat lagi ‘emas hitam’ (minyak) Terengganu kepada BN.
Terengganu yang dijangka dapat dirampas oleh BA ternyata masih dipegang oleh BN. BA juga mengharapkan pertambahan kerusi di Perlis berikutan masalah dalaman BN Perlis yang tidak kurang hebatnya tetapi tidak kesampaian. Sebaliknya Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Perak pula yang diperolehi BA.
Keputusan paling mengejutkan tentunya kejayaan BA menafikan majoriti 2/3 BN, satu situasi yang pastinya tidak dijangkakan sama sekali oleh semua pihak. Saya sendiri meramalkan BA sekadar mempeolehi 50 ke 60 kerusi parlimen sahaja.
Selain daripada perubahan pendirian majoriti kaum India dan Cina yang banyak membantu kemenangan BA dan kesungguhan para petugas BA dalam memastikan perjalanan pilihanraya bersih, ada suara-suara berbisik yang mengatakan wujudnya usaha pihak dalaman BN sendiri yang mahukan perubahan dalam parti khususnya UMNO. Kegagalan mendapatkan kemenangan selesa sebagaimana sebelum-sebelum ini akan dijadikan senjata untuk menjatuhkan kepimpinan utama UMNO kini iaitu Datuk Seri Abdullah Badawi. Besar kemungkinan Perhimpunan Agung UMNO akan menjadi pentasnya. Tidak mustahil juga Datuk Seri Abdullah Badawi sendiri akan melepaskan jawatannya.
Hal ini menimbulkan tanda tanya, benarkah wujud perjanjian antara Datuk Seri Abdullah Badawi dengan mantan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Mahathir yang mensyaratkan sepenggal sahaja jawatan PM untuk Datuk Seri Abdullah? Apakah Datuk Seri Najib bakal menjadi PM Malaysia seterusnya sebagai pelengkap ‘Teori R.A.H.M.A.N’?
Nama-nama besar dalam BN seperti Zainuddin Maidin, Shahrizat Abdul Jalil, Koh Tsu Koon dan Samy Velu tumbang. Di tempat-tempat yang dimenangi BN, umumnya majoriti menurun walaupun kawasan-kawasan itu adalah kubu kuat BN. Nampaknya rakyat memang berpegang dengan kata-kata keramat “Masa Untuk Berubah”.
Pulau Pinang bakal mendapat Ketua Menteri yang baru dan nama yang disebut-sebut ialah Lim Guan Eng. Di Kedah pula kedengaran nama Ustaz Azizan sebagai Menteri Besar. Di Selangor kedengaran nama Tan Sri Khalid Ibrahim. Siapa pula Ketua Pembangkang di parlimen nanti?
Kemenangan besar Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ke atas Datuk Pirdaus Ismail dengan majoriti 13,388 agak mengejutkan kerana pada pilihanraya yang lalu saingannya begitu sengit hinggakan kiraan semula terpaksa dilakukan. Kemenangan Dr Wan Azizah ketika itu hanya dengan majoriti 590 undi. Ke mana hala Ustaz Pirdaus selepas ini? Apakah senasib dengan Ustazah Mashitah?
Kemenangan Nurul Izzah menewaskan Datuk Shahrizat pastinya lebih bermakna. Siapa sangka Datuk Shahrizat akan kecundang kepada ‘orang baru’ di kubu BN. Temubual media dnegan Datuk Shahrizat pada siangnya menunjukkan keyakinan beliau untuk menang berdasarkan perjalanan proses pilihanraya yang begitu tenang.
Pada pukul 1.30 pagi 9 Mac, BN muncul sebagai pemenang keseluruhan apabila berjaya mendapat kerusi ke 112, iaitu kemenangan dengan majoriti mudah. Namun begitu keadaan ini bukanlah satu ruang yang selesa untuk BN bernafas. Pada bila-bila masa parti-parti komponen BN boleh ditarik untuk menyertai BA dan seterusnya membentuk kerajaan baru. Jika para pemenang atas tiket BN di Malaysia Timur, MCA dan MIC bersetuju untuk menyertai kerajaan baru BA, parti UMNO bakal berkubur.
Mengenang kembali senario pilihanraya 1999, suasana amat tegang dan BA Berjaya menambah kerusi dalam keadaan para pengundi muda dinafikan hak mengundi mereka. Oleh itu BA membayangkan kemenangan besar pada pilihanraya 2004. Malangnya apa yang berlaku adalah sebaliknya! BN menang bergaya. Tahun 2008 ini pula bebeza senarionya. Umumnya keadaan tenang di mana-mana tetapi undi rakyat berubah begitu pesat. Perubahan berlaku dalam senyap dan damai.
Satu persoalan lagi, di manakah pilihanraya kecil selepas ini akan diadakan untuk membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim beraksi di parlimen?
9 MAC 2.45 am
Alexanderwathern
0 comments:
Post a Comment