Perjuangan Menentang ISA
Semalam sempat membelek karya terbaru pengarang La' Tahzan, Dr. Aidh. Aku, Buku dan Cinta sememangnya satu garapan yang sangat menarik daripada Dr. Aidh. Saya belum sempat membaca habis buku ini, sekadar sempat membaca muqaddimah daripada penulis. Tetapi kerana muqaddimah inilah saya sudah jatuh hati kepada karya beliau ini. Buku manakan bisa berpisah dari cinta saya terhadap ' semua ' . Ingin sekali menerokai rasa cinta terhadap buku ini tetapi keadaan kesihatan amat menghalang. Kaki yang sakit terseliuh kerana di kejar FRU hari Sabtu yang lalu begitu menyakitkan.
Tetapi tidak mengapa, perjuangan tidak pernah senang, pasti susah dan berliku. Cuma keperitan sakit ini tidak seberapa dibandingkan dengan rasa sakit melihat masih ada lagi dikalangan umat manusia yang begitu mempertahankan ISA dan menyalahkan GMI yang menganjurkan demontrasi ini kerana kononya menyusahkan rakyat, merosakkan harta awam, menjejaskan perniagaan sekitar dan sebagainya. Tetapi jelas lagi nyata bahawa permulaan himpunan ini berlaku secara sangat aman. Sehingga ada yang datang awal membeli belah di sekitar KL tetapi segala ketenangan ini bertukar kucar kacir apabila polis tiba-tiba mengejar orang awam dan memancutkan chemical water dan menembak gas pemedih mata sesuka hati mereka.
Saya dan seorang sahabat yang berada di dalam kedai buku di sebelah Masjid India hampir menjadi mangsa tangkapan. Namun kami bernasib baik dibandingkan dengan sahabat saya sekeluarga di tangkap sebelum berhimpun. Mereka sekeluarga di tangkap ketika berjalan-jalan membeli belah disekitar Semua House. Ketika terperangkap di Pertama Kompleks, kami sempat membantu seorang pekerja Sogo yang pengsan terkena water cannon dan gas dan juga seorang ibu mengandung yang tidak sedarkan diri. Saya sempat mendengar seorang anggota Pertahanan Awam yang memarahi polis kerana menembak sesuka hati hingga menyebabkan bantuan perubatan tersekat. Dalam keadaan agak tenang di dalam kompleks, tiba-tiba kami dikejar oleh beberapa orang FRU di dalam bangunan.
Kebanyakkan peniaga-peniaga yang berada di dalam komples tersebut ketakutan, sedangkan peserta demonstrasi cuma tinggal bebarapa orang sahaja. Saya dikejar sampai ke luar bangunan, dan di luar sana terdapat sebuah lori water cannon fru yang sedang menunggu bersedia untuk memancutkan air. Terasa berada di medan perang. Terlalu berliku. Hendak ke depan, di pancut air asid, hendak patah balik pasti di bantai FRU yang sedang mengangkat cota untuk memukul sesiapa sahaja di situ. Kali ini saya hanya bertawakkal kepada Allah. Mujur belum pun sempat FRU yang mengejar mendapatkan saya, ada seorang sahabat menarik tangan saya ke celah-celah lorong KFC , saya sempat menjeling ke arah FRU tersebut yang tampak sangat ganas dan naik gila. Ya Allah...bukalah pintu hati mereka sempat saya berdoa.
Saya pasti pihak polis sudah di beri arahan untuk membantai kami habis-habisan, ini terbukti apabila polis di luar bangunan mengarahkan peserta untuk bersurai tetapi apabila peserta mula berjalan untuk pulang, mereka menangkap seorang demi seorang . Setiap lorong di kepung FRU bersama senjata masing-masing, bagaimana kami hendak pulang jika setiap jalan di kepung di tembak gas pemedih mata ! Dalam keadaan tegang seperti ini sempat saya melihat beberapa orang wanita dan peserta mengangkat tangan kepada FRU sebagai tanda untuk bersurai melalui jalan tersebut, tetapi FRU menembak lagi gas ke arah mereka. Sedih sungguh diperlakukan sebegitu !
Saya sempat keluar dari bangunan Pertama Kompleks sebelum ditutup ditutup disitu. Keadaan di luar antara jalan Sogo dan Pertama Kompleks lengang, tiada seorang pun di situ. Saya memberanikan diri keluar ke situ dan dapat melihat sekumpulan polis di seberang jalan ke bangunan MARA sedang memerhati dan di sebalah kiri sekumpulan FRU sedang mengangkat senjata gas untuk dilepaskan ke arah kumpulan yang berada di lorong sekitar Masjid India. Saya yakin kebanyakkan mereka di situ adalah peniaga dan orang awam kerana dari maklumat yang diterima kebanyakkan peserta demonstrasi sudah beransur pulang. Pang..pang...seperti diduga tembakan dilepaskan kepada mereka di sana. Asap gas berselerak hingga ke arah saya, pedih dan sakit lagi. Saya sudah tidak berupaya untuk berlari, terus berjalan ke arah LRT Bandaraya kerana LRT Masjid Jamek di sekat FRU .
Keadaan di LRT Bandaraya juga saya perhatikan agak lenggang cuma terdapat sekumpulan polis sedang menunggu di situ. Saya memikir untuk ke situ atau berpatah balik, jika saya ke LRT Bandaraya, kemungkinan besar saya akan ditangkap oleh mereka tetapi jika saya berpatah balik, kemungkinan besar juga akan di lanyak dengan air asid lagi. Keputusan nya saya terus ke arah LRT Bandaraya, biarlah jika nasib saya ditangkap, saya rela sahaja. Saya perhatikan polis disitu ada yang menghisap rokok, bersembang, bergelak ketawa dan ada yang bermuka serius. Hati saya sakit, bagaimana mereka merokok dan gelak ketawa sedangkan di sana masih ada lagi rakyat yang tidak bersalah di nafikan hak mereka untuk berhimpuan secara aman di mandikan dengan air asid dan di tembak dengan gas pemedih mata. Ya Allah.....Sesungguhnya Engkau lah Penguasa Sekalian Alam...
Saya terus berjalan menuju ke Stesen Komuter Bank Negara untuk mendapatkan tiket ke KL Sentral, jam sudah menunjukkan pukul 5 ptg, tetapi masih kedengaran bunyi tembakan di luar sana. Ketika di dalam Komuter ke KL Sentral saya mendapat mesej dari sahabat yang masih terperangkap di Masjid India, keadaan di situ masih kritikal. Gas pemedih mata di tembak sesuka hati hingga ke dalam masjid. Mereka tidak dapat keluar untuk bersurai. Saya membalas mesej dan akan menunggu mereka di KL Sentral. Sampai di KL Sentral, keadaan terlalu padat dengan orang ramai, polis merata tempat.
Menunggu sahabat dari Masjid India hampir pukul 6.30 petang, tetapi makluman yang diterima kawasan di sana masih lagi ditempur FRU. Mujurlah sahabat berdua di sana berjaya melolos diri ke Pasar Seni dan mengambil lrt dari situ terus ke Wangsa Maju. Kami berjumpa terus di Wangsa Maju dalam keadaan masing-masing lembik keletihan di bantai gas pemedih mata dan water cannon. Seolah-olah baru pulang dari medan pertempuran. Ia..perjuangan ini hanya secebis yang mampu di lakukan kami. Sesungguhnya kezaliman pasti akan dibalas Allah s.w.t yang Maha Hebat lagi Perkasa. Ingatlah semua, kita tak punya kuasa kerana segalanya milik Allah.
Kenapa saya berada di sana ?
Saya bukanlah manusia yang jenis mengikut tanpa berfikir, saya bukanlah lembu yang boleh dicucuk hidungnya oleh sesiapa untuk dikerahkan sesuka hati. Tetapi saya tahu dan maklum bahawa tujuan saya ke sana adalah semata-mata menunjukkan rasa simpati terhadap keluarga tahanan ISA , dan kepada tahanan itu sendiri. Bukanlah seperti kata pihak di sebalah sana bahawa perhimpunan ini ada motif di sebaliknya, perhimpunan ini adalah kerana Anwar Ibrahim, perhimpunan ini adalah bermotif politik dan sebagainya. Tetapi bagi saya, adalah tanggungjawab saya sebagai seorang muslim yang amat terdedah dengan kezaliman ISA ini. Sesiapa yang mengetahu akan kezaliman ISA ini tetapi masih berpihak kepada ISA maka saya menganggap mereka-mereka ini adalah manusia yang berhati batu dan mementingkan diri sendiri.
Kenapa saya menentang ISA?
Tahukah kita bahawa orang yang di tahan di bawah Akta ini tidak pernah tahu kesalahan mereka. Mereka tidak pernah di hadapkan ke mahkamah dan dilabelkan dengan pelbagai nama yang dicipta seperti ahli JI, agen perisik asing dan sebagainya tanpa apa-apa bukti. Hanya tuduhan rekaan semata-mata ! Tahukah kita Suhaimi Mokhtar dan Dr. Abdullah Daud telah di tahan sejak 2001 sehingga kini dan Mat Sah Mohd. Satry ( suami Kak Laila ) , Shamsudin Sulaiman dan Zaini Zakarian di tahan sejak 2002 sehingga kini. Bayangkan mereka ini di tahan hampir sepuluh tahun tanpa diketahui kesalahan mereka. Mereka juga tidak pernah di hadapkan ke Mahkamah walaupun telah ditahan sekian lama. Perlanjutan tahanan mereka adalah di bawah budi bicara Menteri Dalam Negeri.
Sungguh tidak adil dan kejam. Masih ada yang menganggap ISA ini perlu sebagai pencegahan dan kepentingan majoriti lebih penting daripada minoriti. Maksudnya mereka-mereka yang ditahan ini dianggap pengganas dan minoriti tetapi ingatlah kita keadilan ini untuk semua tanpa kira majoriti atau minoriti. Tindakan menjaga majoriti tidak bermakna golongan minoriti ini dicabut hak asasi mereka. Jika mereka bersalah, pengganas, agen perisik dan apa sahaja tuduhan sekalipun, mereka perlu dibicarakan. Buktikan mereka bersalah. Jika terbukti kesalahan mereka, tahanlah atas kapasiti undang-undang yang membenarkan mereka ditahan. Sekalipun ISA dikatakan untuk menjaga kepentingan Islam ataupun Melayu sekalipun ianya tetap bercanggah dengan prinsip keadilan dan Islam amat melarang penahanan tanpa bicara ini. Menurut rekod kebanyakkan mereka yang ditahan ialah mereka daripada bangsa Melayu dan beragama Islam, jadi soal menjaga kepentingan orang Melayu langsung tidak timbul ! Malahan jika sekalipun Cina , India atau sesiapapun di tahan di bawah ISA ini, maka setiap kita bertanggungjawab membela keadilan dan menolak kezaliman.
Ini belum lagi penyiksaan yang dihadapi oleh keluarga tahanan. Kita semua sedia maklum dengan cerita-cerita dari isteri dan anak- anak tahanan. Artikel-artikel dari Kak Laila sendiri menceritakan bagaimana mereka isteri tahanan terpaksa berpisah dengan suami entah bila akan dibebaskan, bekerja menanggung semua perbelanjaan anak dan rumah, di pantau dan digertak SB sepanjang masa. Bagaimana perit yang diceritakan oleh Kak Jije kepada saya, beliau isteri bekas tahanan ISA ,YB Saari Sungib yang tertekan diganggu SB sepanjang penahanan suaminya dan peritnya membesar anak-anak tanpa suami yang ditahan tanpa sebab. Anak-anak yang mempunyai ayah tetapi tidak pernah berjumpa dan mendapat kasih sayang daripada mereka. ISA begitu kejam ! Ya..mungkin ianya tidak terjadi kepada kita ataupun keluarga kita, manakan kita peduli tentang semua ini.
Perhimpunan ini berlaku setelah pelbagai wacana, forum, surat-surat bantahan, surat desakan, pendirian Amnesty International, Human Right Watch dan Islamic Human Right Commision serta badan-badan NGO lain mendesak kerajaan membebaskan semua tahanan atau dibicarakan mereka mengikut lunas-lunas keadilan sejak bertahun lamanya namun tiada satu jawapan positif dan pendirian kukuh untuk menghapuskan ISA ini di nyatakan oleh kerajaan. Penantian yang begitu lama menyebabkan tahanan-tahanan ini terus tersiksa dan menyebabkan GMI terpaksa mendesak kerajaan dengan lebih pro aktif . Harapan saya selepas peristiwa himpunan besaran ini, kerajaan perlu bertindak segera membebaskan tahanan ISA . Janganlah terus menzalimi mereka. Jika mereka benar-benar bersalah, bicarakanlah mereka dengan adil.
Ingatlah sebagai seorang muslim, kita bertanggungjawab terhadap muslim yang lain. Kita akan dipersoal oleh Allah terhadap tanggungjawab ini nanti. Apa yang kita lakukan untuk saudara kita yang lain ? Apa yang mampu kita jawab dihadapanNya nanti ?
Teruskanlah menentang akta ini dengan menghantar surat bantahan menuntut kerajaan memansuhakan ISA . Surat boleh terus dihantar kepada :
Menteri Keselamatan Dalam Negeri
Blok D1, Parcel D
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Faks : 03-88868014
Blok D1, Parcel D
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Faks : 03-88868014
Dan memberi sokongan kepada tahanan dengan menghantar surat atau kad ucapan kepada mereka di :
Tempat Tahanan Perlindungan Kamunting
34009 Taiping
34009 Taiping
Takutlah kita kepada amaran Allah s.w.t di dalam kitabnya ;
" Orang-orang yang zalim itu akan mengetahui di mana tempat mereka akan dihumbankan.." As-Syuaara 227
" Dan jangalah kamu cenderung kepada mereka yang berlaku zalim maka kalau kamu berbuat demikian , api neraka akan membakar kamu sedang kamu tidak ada seorang penolong pun selain Allah dan disebabkan kecenderungan kamu itu kamu tidak akan mendapat pertolongan " Surah Hud 113
" Dan jangalah kamu cenderung kepada mereka yang berlaku zalim maka kalau kamu berbuat demikian , api neraka akan membakar kamu sedang kamu tidak ada seorang penolong pun selain Allah dan disebabkan kecenderungan kamu itu kamu tidak akan mendapat pertolongan " Surah Hud 113
3 comments:
salam,
semoga dilimpahi pahala oleh Allah di atas kesusahan yg ditanggung dlm perjuangan. Sedih membaca catatan anda tapi akak yakin nilah yg memberi kekuatan utk tidak meninggalkan medan perjuangan ini sampai bila-bila..InsyaAllah
semangat semangat nurr..baca artikel ni spt sama sama berada di tempat tuh,
geram baca. geram kat polis dan FRU. moga Allah membuka pintu hati mereka utk melihat kebenaran. moga kita juga ditetapkan dlm perjuangan
Post a Comment