Related Posts with Thumbnails

Orang Besar Kenduri Kecil

Dikhabarkan bekas majikan saya melangsungkan perkahwinan anak perempuannya baru-baru ini. Bekas majikan ini bolehlah dikatakan orang berada. Pendapatannya mungkin lebih RM 6,000 sebulan. Pendapatan isterinya pula saya agak lebih RM 4,000 sebulan. Di situ saja sudah lebih RM 10,000. Dia pula orang berharta. Banyak tanah dan kebun. Jadi setiap bulan berbelas-belas ribulah pendapatan keluarganya.

Dikhabarkan kenduri kahwin anaknya diadakan pada waktu malam. Hanya kaum keluarga dan kenalan dekat sahaja yang dijemputnya. Hidangan pun sekadar pulut.

Khabarnya lagi, belanja perkahwinan itu sekitar RM 20,000. Sedikit diambil untuk kenduri pada malam tersebut. Selebihnya?

Selebihnya dipulangkan kepada pasangan pengantin!

Memang jimat, memang untung dan memang dia jenis tahan telinga : ) Caranya memang mengejutkan kerana di luar daripada kebiasaan orang kita. Tapi dari segi 'jimat'nya itu yang menarik hati saya.

Saya terfikir-fikir. Kalau dia buat kenduri besar, sepadan pula dengan kedudukan dan kewangannya, saya kira busuk-busuk pun RM 10,000 hangus. Biasalah, kenduri besar umumnya untuk memenuhi kehendak (bahasa kasarnya- nafsu) orang ramai. Orang hendak makan sedap, hendak tengok khemah pengantin yang serba cantik, hendakkan pelamin yang canggih, hendakkan tema istimewa, hendak melihat baju pengantin yang mahal, hendakkan aturcara bak perkahwinan artis terkenal... bahkan hiasan dan susun atur bilik pengantin pun hendak yang terbaik. Macam-macam kehendak orang sekeliling dan biasanya kita akur walaupun kita tidak setuju. Duit meluncur bagaikan air deras untuk sehari semalam sahaja.

Bayangkan... RM 20,000 dipulangkan kepada pasangan pengantin untuk menguruskan hidup mereka. Apa yang boleh mereka buat? Banyak!

"Down payment" kereta? Ataupun pergi mengerjakan umrah? Ataupun masukkan ke dalam akaun Tabung Haji? Pergi melancong? Lengkapkan isi rumah? Ataupun buat pelaburan? Sambung belajar? Beli buku dan kitab buat perpustakaan mini di rumah? Masyaallah... macam-macam!

Berbanding pula dengan sebuah lagi majlis perkahwinan kenalan saya baru-baru ini. Pendapatan bulanannya ratus-ratus. Gaji pasangannya pun sekadar ratus-ratus juga. Datang dari keluarga biasa-biasa. Tapi untuk majlis mereka, ribu-ribu habis. Ada hutang pulak tu.

Saya ada beri sedikit pandangan agar dia 'mengecilkan' sedikit majlisnya, dan nampaknya dia boleh terima sebahagian pandangan. Malangnya dia tidak mampu untuk bertahan dengan kehendak (ringkas cakap- nafsu) adik-beradik, saudara-mara dan masyarakat sekeliling. Takut reaksi negatif saudara-mara, jiran-jiran dan sebagainya. Akhirnya badan sendiri yang menanggung selepas majlis selesai.

Secara peribadi, saya suka jika majlis perkahwinan pertama dibesarkan sedikit dan majlis kedua itu dikecilkan sedikit. Wallahualam.

Akhirnya kita berhibur dan mengambil manafaat daripada filem Bujang Lapok yang mengisahkan pergaduhan sepasang suami isteri yang masih menanggung hutang perkahwinan walaupun sudah beranak tiga : )

3 comments:

az_abrar Tuesday, March 16, 2010 10:21:00 AM  

menarik dan boleh dijadikan teladan...:)

alexanderwathern Tuesday, March 16, 2010 10:50:00 AM  

Hihi... tadi nak tulis "spaceofilmu" kat Google, entah macam mana tertulis "spacebook" : )Ni gara-gara banyak main Facebook la ni.

az_abrar Wednesday, March 17, 2010 12:07:00 PM  

hehe...spacebook pun mcm ok jugak bunyinye...

  ©Template by Dicas Blogger.

TOPO