Pengajian Kitab Munyatul Musolli 2
SPACE OF ILMU
Kitab Munyatul Musolli karya Syeikh Daud Fatani
Bahagian 2 - Kisah Ketua Perompak Jadi Wali Allah
Kitab ini ditulis dalam tulisan jawi lama dialek Patani. Pening sikit kita hendak membacanya. Namanya “Munyatul Musolli”. Boleh juga disebut Minyatul Musolli. Maksudnya – Yang Diperlukan oleh Orang yang Bersembahyang (Yang Dikehendaki oleh Orang yang Bersembahyang/ Yang Dicita-citakan oleh Orang yang Bersembahyang). Sesiapa yang bersembahyang, dia memerlukan kitab ini. Oleh kerana kita bersembahyang, maka kita perlukan kitab ini.
Cuma kita jangan tersalah sebut. Ada orang sebut Manyatul Musolli, Maniatul Musolli, Mayyiyatul Musolli dan lain-lain. Kalau salah sebut, maksudnya boleh jadi “Matilah Orang yang Bersembahyang”. Kita hendak belajar kitab yang mana? “Apa yang Diperlukan oleh Orang yang Bersembahyang” ataupun “Matilah Orang yang Bersembahyang”? Kalau belajar kitab “Matilah Orang yang Bersembahyang”, kita kena bawa kain kafan. Takut kita hendak belajar, sembahyang sembahyang... mati!
Antara isi kandungan kitab ini ialah tentang sembahyang, dari mula sampailah habis sembahyang. Kemudian tentang adab-adab pemerintah dan adab-adab rakyat. Dan di belakangnya pula disertakan satu lagi risalah terjemahan Syeikh Daud Fatani yang dinamakan “Bahjatul Mardhiyyah”. Ia menceritakan masalah masbuq dan muaffiq dalam sembahyang.
Kitab Munyatul Musolli ini ada diterjemah (dialih tulisan) ke dalam bahasa rumi. Apabila diterjemah, ia jadi tebal. Sungguhpun diterjemah, tetapi tukang terjemahnya tidak menukarkannya perkataan demi perkataan. Dia terjemah mengikut bahasa zaman sekarang. Senanglah hendak difaham. Kalau bahasa dulu, susah sikit untuk difaham.
Contohnya (lenggok bahasa dahulu kala)- “Sunat berbuka di atasnya tamar.”
Maksudnya sunat kita berbuka puasa dengan memakan buah kurma ataupun sejenisnya terlebih dahulu. Tapi kalau kita tersalah faham, kita akan menyangka disunatkan berbuka puasa dengan duduk di atas buah kurma. Dalam terjemahan rumi ini, ia sudah tidak menggunakan gaya bahasa lama. Senang untuk kita faham. Sungguhpun begitu, ketika saya mengajar, saya menggunakan kitab yang lama.
Hari ini kita tengok muka surat yang pertama.
“Bismillahirrahmanirrahim. Kumulai risalah ini dengan nama Allah yang Amat Murah lagi Amat Mengasihani akan hamba-Nya yang mukmin dalam negeri akhirat.”
“Kumulai”.
Siapa yang mulai? Tuan kitab, iaitu Tuan Syeikh Daud Fatani. Dia mulakan risalah ini dengan Bismillahirrahmanirrahim. Itu maksudnya.
“Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Tuhan yang menjadikan sembahyang yakni sembahyang lima waktu ini jalan segala orang yang muttaqin.”
Sembahyang lima waktu ini ialah jalan orang-orang yang bertaqwa. Sesiapa yang tidak bersembahyang, maksudnya bukan orang-orang yang bertaqwalah. Sebanyak mana amal kebaikannya pun, jika tidak bersembahyang, tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang bertaqwa. Kalau kita bersembahyang, insyaallah masih ada harapan masuk dalam golongan orang-orang yang bertaqwa.
Sebab itu kita selalu berpesan, jahat macam manapun, sembahyang jangan tinggal. Mengapa? Kerana kita takut-takut sekiranya ibadah sembahyang tidak selesai, ibadah yang lain pun tidak diterima. Itu yang angat kita risaukan.
Macam yang saya pernah cerita dulu (dalam pengajian kitab lain). Ada seorang wanita yang menjaga ibunya yang sakit bertahun-tahun, sampailah ibunya meninggal dunia. Selepas pemergian ibunya, dia meluahkan rasa puas hati kerana berjaya menjaga ibunya yang sakit bertahun-tahun sampailah ibunya mati, tanpa diserahkan kepada orang lain untuk dijaga. Tapi masalahnya, wanita ini jenis orang yang tidak menunaikan solat. Bagaimana tu? Auratnya sendiri pun tidak ditutup dengan sempurna!
Lebih baik lagi mereka yang tidak berapa menjaga ibunya tetapi bersembahyang. Sekurang-kurangnya masih diterima/ dikira lagi amalan-amalan mereka. Yang kita risau, si wanita ini bertungkus-lumus menjaga ibunya tetapi amalan-amalannya tidak diterima/ dikira.
Jadi kita ini jahat setara manapun, solat jangan diabaikan.
Kisah seorang wali Allah (Fudhail bin Iyaz). Asalnya seorang ketua perompak. Ketua perompak ini sebenarnya seorang yang baik. Dia dan orang-orangnya merompak satu rombongan. Selepas merompak, salah seorang yang kena rompak itu bertanya, “Ketua kamu yang mana satu?”
“Ketua kami berada di seberang sungai.”
“Buat apa dia di sana?”
“Dia sedang sembahyang.”
Ketua perompak bersembahyang? Eh, pelik ni!
“Dia tak makan dengan kamu semua sekalikah?” tanya orang yang kena rompak?
“Tidak.”
“Mengapa dia tidak makan bersama?”
“Dia sedang berpuasa.”
“Eh, sekarang bukan bulan puasa!”
Ketua perompak ini bersembahyang sunat dan berpuasa, sekalipun dia seorang ketua perompak. Disebabkan perangainya seperti itu, lama-kelamaan dia bertaubat dan jadi wali Allah (atas pilihan Tuhan). Asalnya dia seorang penjahat, tetapi oleh kerana dia menjaga sembahyang, akhirnya dia jadi wali Allah.
Ada pula kisah, sewaktu perompak ini merompak, orang yang dirompak tidak tahu orang yang berada di depannya ialah ketua perompak. Orang yang kena rompak menyerahkan barangnya kepada ketua perompak untuk disimpan.
“Encik, tolong simpan barang saya.”
“Tak mengapalah, biar saya tolong simpan.”
Habis saja anak-anak buahnya merompak, dia beri balik barang tadi. Anak-anak buahnya terkejut.
“Kenapa beri balik barang itu?”
“Orang ini sudah amanahkan barangnya kepada aku. Jadi aku berpegang dengan amanah. Aku berharap amal ibadah aku nanti akan jadi amanah oleh Tuhan, Tuhan akan terima.”
Lama-kelamaan dia pun jadi wali Allah (atas pilihan Tuhan), disebabkan amanahnya. Jadi, kita jahat macam mana pun, sembahyang jangan ditinggalkan.
0 comments:
Post a Comment