Berdakwahlah, Jangan Menakutkan
Kehadiran para karkun ke kariah kita sememangnya membawa aura tersendiri yang sedikit-sebanyak diharap dapat memberikan suntikan iman dan amal kepada masyarakat. Aktiviti mereka ketika ‘keluar’ di masjid ataupun surau kita pada UMUMNYA BAGUS BELAKA. Namun begitu, terdapat juga beberapa perkara kurang enak yang sebenarnya BOLEH DIPERBAIKI, yang secara tidak langsung dapat MEMANTAPKAN lagi gerak kerja jemaah Tabligh. Salah satunya ialah ‘gesaan’ yang kurang berhikmah oleh SEBAHAGIAN para pekerja jemaah Tabligh.
Sudah menjadi fitrah kepada mana-mana perkumpulan Islam pun, KITA MAHU ORANG LAIN melibatkan diri dalam AKTIVITI-AKTIVITI YANG JEMAAH KITA ANJURKAN. Jemaah-jemaah tariqat mahu orang ramai menyertai halaqah mereka. Parti Islam mahukan orang ramai menyertai program mereka. Hizbut Tahrir juga mahu begitu. ABIM, JIM, ISMA, Haluan dan lain-lain pun sama, termasuklah jemaah Tabligh.
Persoalannya- kita bersungguh-sungguh mengajak orang lain menyertai program-program anjuran kita, apakah kita juga sebenarnya SUDAH MENUNJUKKAN CONTOH dengan bersedia mengikuti program-program anjuran pihak yang lain? Di mana adilnya jika kita menggesa orang datang ke kenduri di rumah kita sedangkan KITA SENDIRI TIDAK SUKA PERGI ke kenduri orang? Jika kita sendiri belum menunjukkan contohnya, sebaiknya jangan menggesa orang lain mengikuti program kita.
Di sinilah dakwah Tajdid Segar memainkan peranan. Sungguhpun kita sudah ada jemaah tertentu yang kita selesa untuk sehidup semati dengannya, tetapi sesekali ada baiknya kita mengikuti program jemaah-jemaah lain asalkan saja jangan sampai terabai pula komitmen kita dengan jemaah kita. Sesekali orang Tabligh menghadiri program orang Naqsyabandiah. Sesekali orang Parti Islam mengikuti program orang Tabligh. Sesekali orang ISMA bersama dalam program tarbiah orang jemaah an-Nur Said Nursi.
Dengan cara begini, lama-kelamaan minda para pekerja agama seluruh dunia akan terbuka lebih luas. Mereka dapat melihat BAGAIMANA UMAT INI BERGERAK dan ke mana halatujunya. Maklumlah, selama ini mereka HANYA MELIHAT bagaimana fikrah dukungan mereka bergerak, belum pernah memahami PERGERAKAN UMAT. Lebih menyedihkan ialah apabila ahli-ahli sesuatu fikrah itu ditanam dalam minda mereka bahawa pergerakan fikrah mereka itulah pergerakan umat.
Mengapa begitu? Kerana para pimpinan mereka masih selesa dengan DAKWAH TAJDID UNTUK KURUN YANG LALU iaitu bergerak secara berbilang jemaah SAHAJA. Padahal untuk kurun ini, kita mesti bergerak secara berbilang jemaah juga DAN mengusahakan untuk begerak sebagai satu umat.
Bicara soal dakwah tajdid segar, nanti akan panjang berjela pula artikel ini. Cukup setakat ini, dan kita kembali kepada “berdakwahlah, jangan menakutkan”.
Kita lihat ada karkun yang mempromosikan agar orang lain mengikuti aktiviti dakwah mereka BERLEBIH-LEBIHAN sehingga mendatangkan kesan negatif. Jemaah yang baru hendak pulang seusai solat ditahan dengan teknik-teknik tertentu oleh mereka. Oleh kerana hormat dan segan, orang itu pun terpaksalah mendengar percakapan di karkun. Kadang-kadang sudah dua tiga kali bergerak, masih dipaksa secara halus untuk mendengar dakwah si karkun. Di dalam masjid sudah ditahan, si karkun akan berusaha untuk memanjangkan dialog/ ceramahnya. Sampai di pintu masjid, ditahan lagi secara halus. Sudah pakai kasut pun ditahan lagi. Sudah sampai ke kenderaan pun si karkun masih bersyarah. Memang para karkun dilatih untuk bersyarah panjang. Kalau boleh prospek mereka jangan mencelah, dengar saja.
Dua tiga kali kena macam tu, akhirnya apabila jemaah Tabligh datang ke masjid, ramai jemaah tempatan yang TIDAK DATANG SOLAT BERJEMAAH. Dengar saja kata ada jemaah Tabligh datang berkampung, tiga empat harilah sebahagian orang tempatan solat di rumah. Mereka jadi takut kalau-kalau nanti diajak bersembang/ mendengar ceramah panjang. Asal tujuan para karkun ialah untuk membanyakkan hadirin ke masjid, tapi akhirnya membuatkan orang takut untuk datang. Begitulah yang selalu saya lihat dalam 18 tahun ini.
Sepatutnya kita mempromosi, bukan memaksa (walaupun secara halus). Apabila orang tidak selesa, langsung mereka tidak datang berjemaah. Apabila dakwah dilakukan dengan cara yang tidak berhikmah, beginilah jadinya.
Oleh itu, kepada SEBAHAGIAN penggerak dakwah jemaah Tabligh, ambillah teguran ini secara positif dan buatlah perubahan. Sampaikan isi kandungan artikel ini kepada sahabat-sahabat anda yang tidak berkesempatan membacanya. Semoga kita dapat bergerak sebagai satu umat suatu hari nanti, insyaallah.
Abu Zulfiqar @ Alexanderwathern
16 November 2009
Read more...