Mencari Kejernihan Hati (akhir)
Di kelas, pemeriksaan sudah tamat. Ghazali dan Jamil bergerak ke arah Fadzil.
“Mana telefon tadi?” tanya Ghazali kepada Fadzil.
“Telefon apa?” balas Fadzil dengan penuh kepura-puraan.
“Aku nampak engkau ambil dari atas meja tadi,” sambung Ghazali sambil tangannya dihulurkan sebagai tanda meminta.
“Hah, jangan nak tuduh-tuduh! Pandai-pandai je nak kenakan orang. Bukan engkau ke tadi yang keluarkan dari beg Seman? Jangan-jangan engkau yang ambil!” lakon Fadzil dengan begitu bergayanya.
“Kalau macam tu, kami nak periksa poket kamu,” kata Jamil.
“Hah, tengok! Periksalah!”
Memang tak ada apa-apa. Dengan wajah sombong dan bangga Fadzil tersenyum kepada rakan-rakannya atas perlakuannya yang bertentangan dengan kehendak Tuhan itu. Ghazali dan Jamil tidak terkata apa-apa.
Pada masa yang sama, Seman baru pulang dari tandas. Ia meneruskan lakonan kotornya, seolah-olah tidak tahu apa yang terjadi.
“Hah, kenapa ni Fadzil?” tanya Seman.
“Diorang ni le, tadi kan dia yang keluarkan ‘henset’ engkau dari dalam beg. Pas tu ‘henset’ tu tak tau ke mana. Tengok-tengok aku pulak yang diorang tuduh ambil,” dengan seriusnya lakon Fadzil.
“Ni yang aku bengang ni! Jangan-jangan korang berdua pakat curi telefon aku apa?” fitnah Seman dengan suara yang keras. Dalam hati kecilnya, ketawanya bukan main lagi. Ketika itu Fadzil dan Seman memang sudah lupa... menurut agama Islam, fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan! Hanya untuk menyelamatkan satu barang dunia, mereka sanggup melawan kehendak Allah dan kehendak Rasulullah agar jangan sesekali memfitnah. Fikiran mereka sudah dipengaruhi syaitan.
Azuan dan Husni pula sebaliknya. Mereka tahu dosa memfitnah, tetapi untuk menjaga perhubungan persahabatan dengan Seman, mereka lebih senang mendiamkan saja apa yang mereka tahu. Dosa pun dosalah asalkan hubungan kami satu kumpulan tetap baik. Untuk mereka menyatakan kebenaran, tidak sama sekali. Begitu dayusnya sikap remaja Islam hari ini.
“Jadi... apa yang perlu kami buat ustazah?” tanya Shahrin.
“Dosa dengan Allah boleh terhapus melalui taubat, dosa sesama manusia kena diselesaikan sesama manusia. Kalau kamu sedar yang kamu bersalah, lebih baik minta maaf dengan orang yang telah kamu aniaya,” balas Ustazah Syahirah lambat-lambat.
“Alamaaak, nak pergi minta maaf yang lemah sendi-sendi lutut ni. Tapi... kalau tak minta maaf, dosa tu kekal camtulah. Camne ni ye?” rungut Seman sambil menatap wajah Fadzil.
“Hah, kamu berdua... Azuan... Husni... jangan ingat kamu tak bersalah. Dosa orang bersubahat sama je dengan orang yang buat,” tekan Ustazah Syahirah. Azuan dan Husni hanya mampu tersengih.
Fadzil sebenarnya masih melayan perasaannya sejak dari tadi. Ia mula merasakan kejadian buruk yang melanda kelasnya baru-baru ini seolah-olah ada kaitan dengan perlakuan mereka tempoh hari. Nampak jelas kejadian buruk itu memang sebagai balasan Allah kepada mereka.
Mana tidaknya, kelas merekalah yang paling teruk terkena histeria, pelajar lelaki pulak tu. Biasanya pelajar perempuan yang diganggu. Dalam masa seminggu serangan makhluk halus, setiap hari lima enam orang pelajar kelas mereka kerasukan. Yang paling teruk ialah Seman dan Shahrin, meronta-ronta macam orang gila. Malu rasanya dilihat orang ramai dalam keadaan begitu.
“Aku rasa kan, kita kena minta maaf le. Korang tengok le apa yang jadi apa kelas kita hari tu,” cetus Fadzil.
“Memang pun! Aku pun terfikir macam tu jugak. Boleh jadi Tuhan balas perbuatan kita tu,” Husni mengiakan.
“Memang saya pun nak kata macam tu, tapi nanti kamu cop saya mengarut pulak. Sekarang... kamu sendiri sedar macam tu, pandai-pandailah membetulkan keadaan,” kata Ustazah Syahirah.
“Tapi... tu le, malu le nak minta maaf,” balas Fadzil.
“Apa kata kita kirim surat?” cadang Azuan.
“Aduhh... tak sanggup rasanya,” balas Seman pula.
“Beginilah... Minta maaf ni tak semestinya mengadap orang tu. Boleh juga guna cara tak langsung. Contohnya, apabila kamu terjumpa Ghazali dan Jamil tu, kamu tegur-tegurlah, senyum-senyumlah. Mereka berdua tu pelajar cerdik, mesti mereka dapat tangkap punya maksud kamu. Dan saya pasti mereka jenis yang mudah memberi maaf,” cadang Ustazah Syahirah.
“Ye lah, buat apa kita masam-masam muka, mencari musuh...lebih baik kita sesame Islam berganding bahu menghadapi musuh-musuh Islam di sekeliling kita. Betul tak ustazah?” kata Shahrin.
“Paaandai pun. Syaitan memang suka sangat le orang-orang Islam saling berbalah ni. Sebab tu kamu mudah kena rasuk,” balas ustazah.
“OK kawan-kawan. Aku rasa dalam hal ni memang kita berkomplot nak kenakan Ghazali sama Jamil. Jadi, kita berbaik-baiklah balik dengan diorang. Kita tak rugi pun, bahkan... Tuhan bertambah sayangkan kita,” putus Seman.
“Alhamdulillah... sempena meraikan tolak-ansur dan baik hati kamu semua, lepas balik nanti jumpa saya di kantin, saya belanja makan tengah hari,” Ustazah Syahirah membuat tawaran.
Read more...