Related Posts with Thumbnails

Sedikit Tazkirah Tarawikh

Assalamualaikum WBT.

Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah SWT yang mengurniakan kepada kita umat Nabi Muhammad SAW ini bulan Ramadhan. Sayangnya Tuhan kepada kita, sebab itulah Dia hadiahkan kita bulan Ramadhan. Sebab apa, Dia tahu apabila datang bulan Ramadhan, ilmu, iman dan amal hamba-hamba-Nya akan bertambah. Inilah salah satu cara Tuhan menolong kita. Dia tahu hamba-hamba-Nya banyak yang malas, dia hadiahkan bulan Ramadhan, maka kita pun jadi rajin berbanding hari-hari biasa.

Bayangkan sekiranya tidak ada bulan Ramadhan. Berapa ramai orang yang dapat istiqamah solat sunat 11 rakaat sehari, macam solat tarawikh dan solat witir yang kita buat? Berapa ramai orang yang dapat buat solat sunat 23 rakaat sehari, macam solat tarawikh dan witir di masjid-masjid dan surau-surau lain? Mungkin dua tiga kerat, tapi majoritinya memang tak dapat buat. Yang hairannya dalam bulan Ramadhan kita mampu! Itulah salah satu tanda Tuhan sayangkan kita dan tanda Dia nak tolong kita ‘top-up’ kita punya pahala. Setiap tahun Allah tolong ‘top-up’ kita punya pahala.

Terima kasih Tuhan kerana Engkau kurniakan kepada kami bulan Ramadhan.


“Setiap yang bernyawa pasti akan merasi mati.”

Sekiranya tuan-tuan masih ingat, dalam salah satu tazkirah saya pada bulan Ramadhan tahun lepas ada saya mengatakan, “Dapatkah kita semua bertemu dengan Ramadhan yang akan datang?” Jawapannya, “ Belum tentu! Belum tentu!”

Dan kalau kita perhatikan, memang ada antara saudara-saudara kita yang pada tahun lepas duduk bersama-sama kita, bertarawikh bersama-sama kita, makan moreh sama-sama, mendengar tazkirah bersama-sama kita… tapi pada tahun ini sudah tidak ada. Ramadhan yang lepas adalah Ramadhan yang terakhir buat mereka.

Persoalannya di sini, bagaimana pula dengan kita? Dapatkah kita bertemu dengan Ramadhan tahun 2008 nanti? Jawapannya sama juga, “Belum tentu!” Bahkan, dapatkah kita bertemu dengan Aidil Fitri yang akan datang bulan depan? Belum tentu juga!

Malaikat maut boleh berada di mana-mana saja. Pada bila-bila masa dia boleh datang menyapa kita. Mungkin sekejap lagi, mungkin esok, mungkin minggu depan, mungkin tahun depan, mungkin seratus tahun lagi… Wallahualam. Malaikat Maut boleh menanti kita di mana-mana saja, di pintu surau, dalam kereta, di pintu rumah, dalam bilik, di tempat kerja dan lain-lain.

Oleh kerana kita faham yang Malaikat Maut boleh menjemput kita di mana-mana dan bila-bila masa saja, maka marilah kita gunakan kesempatan di bulan Ramadhan ini untuk maningkatkan ilmu, iman dan amal kita.

Jadi tazkirah yang ringkas ini sebenarnya ditujukan buat diri saya sendiri dan umumnya kepada tuan-tuan semua. Semoga kita semua beroleh manfaat.

Assalamualaikum.

* Tulisan ini digubah daripada tazkirah ana sebentar tadi (beberapa malam lalu) ketika mengimamkan solat tarawikh. Is kandungannya adalah hampir sama dengan apa yang disampaikan.

0 comments:

  ©Template by Dicas Blogger.

TOPO