Ustaz Nor Azli Musa (Ustaz Taliban) pada kuliah tafsir surah Yaasinnya di pekan Trong sebentar tadi (9 April 2010) berkata:
"Orang-orang cina tanya pada saya... apa pasai itu Kartika minum arak kena sebat, tapi menteri-menteri minum arak tarak kena sebat?"
Sambungnya lagi:
"Aduhh... pening kepala saya nak menjawabnya!"
- Malu benar rasanya apabila pekung kita dibualkan oleh bangsa asing. Patutlah kita tidak disegani dan dihormati. Kalau orang tanya saya secara mengejut pun, terkedu dan terkelu juga jadinya.
Dikhabarkan bekas majikan saya melangsungkan perkahwinan anak perempuannya baru-baru ini. Bekas majikan ini bolehlah dikatakan orang berada. Pendapatannya mungkin lebih RM 6,000 sebulan. Pendapatan isterinya pula saya agak lebih RM 4,000 sebulan. Di situ saja sudah lebih RM 10,000. Dia pula orang berharta. Banyak tanah dan kebun. Jadi setiap bulan berbelas-belas ribulah pendapatan keluarganya.
Dikhabarkan kenduri kahwin anaknya diadakan pada waktu malam. Hanya kaum keluarga dan kenalan dekat sahaja yang dijemputnya. Hidangan pun sekadar pulut.
Khabarnya lagi, belanja perkahwinan itu sekitar RM 20,000. Sedikit diambil untuk kenduri pada malam tersebut. Selebihnya?
Selebihnya dipulangkan kepada pasangan pengantin!
Memang jimat, memang untung dan memang dia jenis tahan telinga : ) Caranya memang mengejutkan kerana di luar daripada kebiasaan orang kita. Tapi dari segi 'jimat'nya itu yang menarik hati saya.
Saya terfikir-fikir. Kalau dia buat kenduri besar, sepadan pula dengan kedudukan dan kewangannya, saya kira busuk-busuk pun RM 10,000 hangus. Biasalah, kenduri besar umumnya untuk memenuhi kehendak (bahasa kasarnya- nafsu) orang ramai. Orang hendak makan sedap, hendak tengok khemah pengantin yang serba cantik, hendakkan pelamin yang canggih, hendakkan tema istimewa, hendak melihat baju pengantin yang mahal, hendakkan aturcara bak perkahwinan artis terkenal... bahkan hiasan dan susun atur bilik pengantin pun hendak yang terbaik. Macam-macam kehendak orang sekeliling dan biasanya kita akur walaupun kita tidak setuju. Duit meluncur bagaikan air deras untuk sehari semalam sahaja.
Bayangkan... RM 20,000 dipulangkan kepada pasangan pengantin untuk menguruskan hidup mereka. Apa yang boleh mereka buat? Banyak!
"Down payment" kereta? Ataupun pergi mengerjakan umrah? Ataupun masukkan ke dalam akaun Tabung Haji? Pergi melancong? Lengkapkan isi rumah? Ataupun buat pelaburan? Sambung belajar? Beli buku dan kitab buat perpustakaan mini di rumah? Masyaallah... macam-macam!
Berbanding pula dengan sebuah lagi majlis perkahwinan kenalan saya baru-baru ini. Pendapatan bulanannya ratus-ratus. Gaji pasangannya pun sekadar ratus-ratus juga. Datang dari keluarga biasa-biasa. Tapi untuk majlis mereka, ribu-ribu habis. Ada hutang pulak tu.
Saya ada beri sedikit pandangan agar dia 'mengecilkan' sedikit majlisnya, dan nampaknya dia boleh terima sebahagian pandangan. Malangnya dia tidak mampu untuk bertahan dengan kehendak (ringkas cakap- nafsu) adik-beradik, saudara-mara dan masyarakat sekeliling. Takut reaksi negatif saudara-mara, jiran-jiran dan sebagainya. Akhirnya badan sendiri yang menanggung selepas majlis selesai.
Secara peribadi, saya suka jika majlis perkahwinan pertama dibesarkan sedikit dan majlis kedua itu dikecilkan sedikit. Wallahualam.
Akhirnya kita berhibur dan mengambil manafaat daripada filem Bujang Lapok yang mengisahkan pergaduhan sepasang suami isteri yang masih menanggung hutang perkahwinan walaupun sudah beranak tiga : )
SPACE OF ILMU
Kitab Munyatul Musolli karya Syeikh Daud Fatani
Bahagian 5 - Tubuh Tanpa Kepala
“Bahawasanya sembahyang lima waktu itu tiang agama.”
Sembahyang lima waktu ini tiang agama. Bagaimana di negara Arab sana boleh datang cerita mengatakan sembahyang ini tiang agama? Padahal rumah orang-orang Arab pada zaman itu tiada tiang. Rumah zaman sekarang adalah. Zaman dulu, mereka susun batu-bata, tanah liat atau apa-apa jenis tanah dan dikeraskan. Rumah mereka berbentuk empat segi kotak, tidak ada bumbung macam rumah kita kerana tiada hujan. Atas rumah mereka leper sahaja. Boleh naik di atasnya duduk baca Quran pada waktu malam.
Jadi bagaimana orang Arab hendak faham cerita tentang tiang, sedangkan mereka tidak guna tiang? Sebenarnya mereka tengok khemah dan tiang khemah. Sembahyang ini macamlah tiang khemah. Kalau tiang utamanya tidak ada, khemah itu tidak boleh didirikan. Orang badwi dan orang-orang yang datang mengerjakan haji di Mekah, mereka gunakan khemah.
Agama Islam ini pun seperti itu juga. Jika ibadah sembahyang (tiang) kita tinggalkan, agama (khemah) tidak boleh kita dirikan. Nanti kita akan tengok tuan kitab ini mengatakan sesiapa yang tidak bersembahyang seolah-olah tidak ada agama.
“Bahawasnya sembahyang lima waktu itu tiang agama, dan yang terlebih besar kejadian rukun Islam yang lima perkara kemudian daripada mengucap dua kalimah syahadah.”
Rukun Islam lima perkara, yang paling besar ialah mengucap dua kalimah syahadah. Selepas mengucap, yang paling besar ialah sembahyang, menunjukkan kepentingan sembahyang.
“Dan tempatnya daripada agama seperti tempat kepala daripada tubuh.”
Ibadah sembahyang ini kalau dibandingkan dengan tubuh badan manusia, ia seumpama kepala.
“Dan tempatnya daripada agama seperti tempat kepala daripada tubuh. Maka speerti tiada hidup orang yang tiada kepala baginya.”
Apabila sudah tidak ada kepala, apa gunanya lagi? Tiada tangan, kita masih hidup lagi, ada guna. Tiada kaki, kita masih hidup lagi, ada guna. Tiada pinggang ke bawah pun ada orang hidup juga. Tapi jika tiada kepala, seseorang itu sudah tidak hidup, sudah tidak berguna.
Jadi ibadah sembahyang kepada agama seolah-olah kepala kepada badan. Apabila tiada sembahyang, maka tiadalah agama. Begitu ceritanya. Tiada kepala, manusia mati. Tiada sembahyang, tiada agama.
“Maka demikianlah, tiada agama bagi orang yang tiada sembahyang.”
Begitulah kata tuan kitab kita – Tuan Syeikh Daud Fatoni.
“Demikian telah datang beberapa hadis…”
Rasanya sekadar itu saja dulu, kita ulang sepintas lalu.
Pertama- tuan kitab kita menceritakan bahawa sembahyang ialah jalan orang-orang yang bertaqwa. Sesiapa yang mendirikan mendirikan sembahyang yang lengkap (yang fardhu), maka dia tidaklah termasuk dalam golongan orang-orang yang bertaqwa. Itulah ruginya.
Yang kedua – ibadah sembahyang ini ialah penyejuk mata hati, penyejuk batin, penyejuk rohani Nabi Muhammad saw. Sepatutnya ibadah sembahyang ini juga menjadi penyejuk bagi diri kita. Sekiranya kita berasa sedap dalam sembahyang, maksudnya ‘penyejuk’lah. Tapi apabila sampai waktu sembahyang kita berasa rimas kerana kena sembahyang lagi, itu bukan penyejuk mata hati.
Yang ketiga – bagi orang-orang yang cinta akan Allah, ibadah sembahyang itu sendiri sudah jadi ‘syurga’ di dunia. Sehinggakan ada seorang wali Allah yang bermohon kepada Tuhan supaya dapat bersembahayang di dalam kubur (selepas matinya), doanya dimakbulkan. Punya seronok ibadah sembahyang.
Kemudian tuan kitab kita juga berpesan, yang beri kita faham isi kitab ini ialah Allah SWT.
SPACE OF ILMU
Kitab Munyatul Musolli karya Syeikh Daud Fatani
Bahagian 4 - Syariat dan Hakikat
“Dan rahmat Allah dan salam-Nya atas penghulu kita Nabi Muhammad pesuruh Tuhan sekelian dan memberi syafaat ia akan segala orang yang berdosa pada hari kiamat.”
Tuan kitab kita ini berselawat mendoakan kesejahteraan kepada Nabi Muhammad, kerana Nabi Muhammad pada hari akhirat kelak ialah pemberi syafaat kepada kita.
Secara ringkasnya syafaat itu begini. Pada hari akhirat nanti ada timbangan amal. Bagaimana rupa timbangan amal itu tidaklah kita tahu. Jadi sekarang kita buat contoh, ia seumpama sebuah dacing. Di sebelah kanan ialah pahala kita manakala di sebelah kirinya pula dosa kita. Ketika ditimbang, tiba-tiba berat sedikit di sebelah dosa. Dengan syafaat Nabi Muhammad, dia tolong beratkan sebelah kanan, di sebelah pahala. Dapatlah kita masuk syurga. Daripada hendak dimasukkan ke dalam neraka pada mulanya tadi, akhirnya kita dimasukkan ke dalam syurga. Itulah syafaat.
Hendak dapatkan syafaat, (antaranya) kita kena banyak berselawat. Ada ulama yang berselawat hingga beribu kali sehari. Mungkin kita akan dimasukkan ke neraka, tapi oleh kerana kita selalu berselawat, dapat syafaat Nabi.
Begitu juga jika dalam keluarga kita ada seorang hafiz. Dia boleh selamatkan beberapa orang ahli keluarganya kerana dia boleh beri syafaat. Tapi syafaatnya tidaklah sekuat syafaat Nabi Muhammad.
Sebab itu banyak orang dari golongan professional (yang mendapat kesedaran), mereka hantar anak-anak mereka mengikuti kelas tahfiz. Dulu mereka tidak belajar agama, maka mereka mengharapkan anak-anak mereka berjaya jadi hafiz dan dapat memberi syafaat kepada mereka.
“… dan atas segala keluarganya…”
Kita mendoakan kesejahteraan kepada keluarga Nabi Muhmmad juga.
“Dan segala sahabatnya, dan segala ikutannya (pengikutnya) daripada anak buahnya yang suci mereka itu akan rahmat dan salam yang berkekalan keduanya hingga ke hari kiamat.”
“Dan adapun kemudian daripada itu. Maka ketahui oleh kamu hai segala orang Muslimin. Telah memberi faham akan kami dan akan kamu Allah SWT.”
Jadi sebelum tuan kitab kita ini hendak melanjutkan pengajarannya tentang ibadah sembahyang, dia beri kita satu peringatan. Ilmu yang kita belajar ini, yang mampu kita faham ini, sebenarnya diberi oleh Tuhan. Tuhan yang beri kita faham. Otak kita tidak ada kuasa untuk memaham. Dari segi hakikatnya, akal kita tidak ada kuasa untuk memaham. Ikhtiar kita tidak ada kuasa untuk faham. Dari segi hakikatnya, yang memberi kita faham ialah Tuhan. Sebab itu kita kena banyak berdoa minta Tuhan tolong beri kita faham.
Sama juga dengan kedatangan kita ke sini. Dari segi syariatnya nampak kita yang berusaha untuk datang. Kita datang naik kereta, jalan kaki, pakai payung dan lain-lain untuk dengar pengajian. Tapi dari segi hakikatnya, yang bawa kita datang ialah Tuhan. Sebabnya, kita tiada kuasa untuk datang. Hendak menggerakkan jari sedikit pun tidak ada kuasa. Semua itu kuasa Tuhan.
Jadi kalau kita belajar dan faham, itu atas pertolongan Tuhan.
“…dan kamu cerdik, dan lindungkan daripada kejahatan diri kita.”
Kita berfikir hendak buat kejahatan, tiba-tiba tak jadi. Apakah ia berlaku atas usaha kita sendiri? Dari segi syariatnya, memang usaha kita sendiri. Kita terfikir untuk mencuri, tiba-tiba kita membatalkan hasrat kita itu kerana berasa berdosa. Memanglah itu berlaku atas usaha kita, tetapi dari segi hakikatnya, Allah yang tolong dan pilih (agar kita tidak mencuri ketika itu). Kita tidak ada kuasa.
Oleh itu, kena seimbang (pemahaman kita) antara syariat dan hakikat.