Related Posts with Thumbnails

Pengajian Kitab Munyatul Musolli 2

SPACE OF ILMU
Kitab Munyatul Musolli karya Syeikh Daud Fatani
Bahagian 2 - Kisah Ketua Perompak Jadi Wali Allah



Kitab ini ditulis dalam tulisan jawi lama dialek Patani. Pening sikit kita hendak membacanya. Namanya “Munyatul Musolli”. Boleh juga disebut Minyatul Musolli. Maksudnya – Yang Diperlukan oleh Orang yang Bersembahyang (Yang Dikehendaki oleh Orang yang Bersembahyang/ Yang Dicita-citakan oleh Orang yang Bersembahyang). Sesiapa yang bersembahyang, dia memerlukan kitab ini. Oleh kerana kita bersembahyang, maka kita perlukan kitab ini.



Cuma kita jangan tersalah sebut. Ada orang sebut Manyatul Musolli, Maniatul Musolli, Mayyiyatul Musolli dan lain-lain. Kalau salah sebut, maksudnya boleh jadi “Matilah Orang yang Bersembahyang”. Kita hendak belajar kitab yang mana? “Apa yang Diperlukan oleh Orang yang Bersembahyang” ataupun “Matilah Orang yang Bersembahyang”? Kalau belajar kitab “Matilah Orang yang Bersembahyang”, kita kena bawa kain kafan. Takut kita hendak belajar, sembahyang sembahyang... mati!



Antara isi kandungan kitab ini ialah tentang sembahyang, dari mula sampailah habis sembahyang. Kemudian tentang adab-adab pemerintah dan adab-adab rakyat. Dan di belakangnya pula disertakan satu lagi risalah terjemahan Syeikh Daud Fatani yang dinamakan “Bahjatul Mardhiyyah”. Ia menceritakan masalah masbuq dan muaffiq dalam sembahyang.



Kitab Munyatul Musolli ini ada diterjemah (dialih tulisan) ke dalam bahasa rumi. Apabila diterjemah, ia jadi tebal. Sungguhpun diterjemah, tetapi tukang terjemahnya tidak menukarkannya perkataan demi perkataan. Dia terjemah mengikut bahasa zaman sekarang. Senanglah hendak difaham. Kalau bahasa dulu, susah sikit untuk difaham.



Contohnya (lenggok bahasa dahulu kala)- “Sunat berbuka di atasnya tamar.”



Maksudnya sunat kita berbuka puasa dengan memakan buah kurma ataupun sejenisnya terlebih dahulu. Tapi kalau kita tersalah faham, kita akan menyangka disunatkan berbuka puasa dengan duduk di atas buah kurma. Dalam terjemahan rumi ini, ia sudah tidak menggunakan gaya bahasa lama. Senang untuk kita faham. Sungguhpun begitu, ketika saya mengajar, saya menggunakan kitab yang lama.



Hari ini kita tengok muka surat yang pertama.



“Bismillahirrahmanirrahim. Kumulai risalah ini dengan nama Allah yang Amat Murah lagi Amat Mengasihani akan hamba-Nya yang mukmin dalam negeri akhirat.”



“Kumulai”.



Siapa yang mulai? Tuan kitab, iaitu Tuan Syeikh Daud Fatani. Dia mulakan risalah ini dengan Bismillahirrahmanirrahim. Itu maksudnya.



“Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Tuhan yang menjadikan sembahyang yakni sembahyang lima waktu ini jalan segala orang yang muttaqin.”



Sembahyang lima waktu ini ialah jalan orang-orang yang bertaqwa. Sesiapa yang tidak bersembahyang, maksudnya bukan orang-orang yang bertaqwalah. Sebanyak mana amal kebaikannya pun, jika tidak bersembahyang, tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang bertaqwa. Kalau kita bersembahyang, insyaallah masih ada harapan masuk dalam golongan orang-orang yang bertaqwa.



Sebab itu kita selalu berpesan, jahat macam manapun, sembahyang jangan tinggal. Mengapa? Kerana kita takut-takut sekiranya ibadah sembahyang tidak selesai, ibadah yang lain pun tidak diterima. Itu yang angat kita risaukan.



Macam yang saya pernah cerita dulu (dalam pengajian kitab lain). Ada seorang wanita yang menjaga ibunya yang sakit bertahun-tahun, sampailah ibunya meninggal dunia. Selepas pemergian ibunya, dia meluahkan rasa puas hati kerana berjaya menjaga ibunya yang sakit bertahun-tahun sampailah ibunya mati, tanpa diserahkan kepada orang lain untuk dijaga. Tapi masalahnya, wanita ini jenis orang yang tidak menunaikan solat. Bagaimana tu? Auratnya sendiri pun tidak ditutup dengan sempurna!



Lebih baik lagi mereka yang tidak berapa menjaga ibunya tetapi bersembahyang. Sekurang-kurangnya masih diterima/ dikira lagi amalan-amalan mereka. Yang kita risau, si wanita ini bertungkus-lumus menjaga ibunya tetapi amalan-amalannya tidak diterima/ dikira.



Jadi kita ini jahat setara manapun, solat jangan diabaikan.



Kisah seorang wali Allah (Fudhail bin Iyaz). Asalnya seorang ketua perompak. Ketua perompak ini sebenarnya seorang yang baik. Dia dan orang-orangnya merompak satu rombongan. Selepas merompak, salah seorang yang kena rompak itu bertanya, “Ketua kamu yang mana satu?”



“Ketua kami berada di seberang sungai.”

“Buat apa dia di sana?”

“Dia sedang sembahyang.”



Ketua perompak bersembahyang? Eh, pelik ni!



“Dia tak makan dengan kamu semua sekalikah?” tanya orang yang kena rompak?

“Tidak.”

“Mengapa dia tidak makan bersama?”

“Dia sedang berpuasa.”

“Eh, sekarang bukan bulan puasa!”



Ketua perompak ini bersembahyang sunat dan berpuasa, sekalipun dia seorang ketua perompak. Disebabkan perangainya seperti itu, lama-kelamaan dia bertaubat dan jadi wali Allah (atas pilihan Tuhan). Asalnya dia seorang penjahat, tetapi oleh kerana dia menjaga sembahyang, akhirnya dia jadi wali Allah.



Ada pula kisah, sewaktu perompak ini merompak, orang yang dirompak tidak tahu orang yang berada di depannya ialah ketua perompak. Orang yang kena rompak menyerahkan barangnya kepada ketua perompak untuk disimpan.



“Encik, tolong simpan barang saya.”

“Tak mengapalah, biar saya tolong simpan.”



Habis saja anak-anak buahnya merompak, dia beri balik barang tadi. Anak-anak buahnya terkejut.



“Kenapa beri balik barang itu?”

“Orang ini sudah amanahkan barangnya kepada aku. Jadi aku berpegang dengan amanah. Aku berharap amal ibadah aku nanti akan jadi amanah oleh Tuhan, Tuhan akan terima.”



Lama-kelamaan dia pun jadi wali Allah (atas pilihan Tuhan), disebabkan amanahnya. Jadi, kita jahat macam mana pun, sembahyang jangan ditinggalkan.

Read more...

Pengajian Kitab Munyatul Musolli 1

SPACE OF ILMU
Kitab Munyatul Musolli karya Syeikh Daud Fatani
Bahagian 1 - Latar Belakang Tuan Kitab



Baiklah, sekarang kita akan masuk ke satu kitab yang baru iaitu kitab “Munyatul Musolli”. Kitab ini cerita tentang sembahyang. Ia sebuah kitab lama, lebih 200 tahun rasanya usia kitab ini. Tetapi yang ini cetakan baru. Kalau yang asal, tok gurunya tulis dengan tangan.



Pertamanya kita akan berkenalan dengan tuan kitab. Siapa dia pengarang kitab ini? Pengarangnya ialah Syeikh Daud Fatani, satu orang ulama besar di Nusantara ini, di alam Melayu ini. Tengok belakang nama pun kita sudah tahu, dia orang Siam. Daerah Pattani ini banyak melahirkan ulama-ulama besar dan wali-wali Allah. Dan Syeikh Daud Fatani ini pun salah seorang daripada ulama besar dan wali Allah juga. Jadi dia berasal dari Pattani, Siam.



Kalau mengikut sejarahnya, orang Siam ialah orang Melayu dan beragama Islam. Yang beragama Buddha itu ialah orang Thai. Di selatan Siam ini dulu ada beberapa kerajaan Islam. Apabila disebut “orang Siam”, maksudnya orang Melayu Islam. Apabila disebut “orang Thai”, maksudnya orang Thai (dan beragama ) Buddha. Itu bezanya.



Tapi sekarang ini disebabkan percaturan sejarah dan politik, mereka tunjukkan kepada kita seolah-olah orang Siam ini bukan orang Melayu, tapi orang (Thai) Buddha. Asalnya orang Siam ini orang Melayu. Mereka salah satu daripada suku bangsa Melayu. Sama dengan orang Banjar, Mandailing, Madura dan lain-lain yang salah satu daripada suku bangsa Melayu. Tetapi apabila orang Thai dari utara menyerang (dan menakluk) kerajaan Islam di selatan, habis digambarkan seolah-olah orang Siam itu berbangsa Thai. Sekarang jika dikatakan “orang Siam”, kita akan gambarkan orang Buddha (maksudnya percaturan mereka berjaya).



Sebab itu ada orang buat kajian, mereka pergi ke kubur-kubur raja-raja Siam zaman dahulu. Bukannya kubur raja-raja Thai, tetapi kubur raja-raja Siam. Batu nisan kubur raja-raja Siam ini sama dengan batu nisan orang-orang Islam. Siap ada yang bertulisan jawi. Sungguhpun nama mereka nama Siam, sebenarnya mereka ada dua nama. Nama Siam ada, nama Islam (keAraban) pun ada. Rupa-rupanya orang di selatan Siam pada zaman dahulu ialah berbangsa Melayu dan beragama Islam.



Syeikh Daud fatani ini dari segi tauhidnya beraliran Asya’irah. Sama macam kitalah. Dari segi fiqhnya bermazhab Syafie. Sama macam kita juga. Dia ini orang tasauf, dia ada ambil tariqat Satariah. Tuan syeikh kita ini dikatakan lahir pada tahun 1113 Hijrah. Sekarang? 1430 Hijrah. Dia meninggal pada 1297 Hijrah. Umurnya lebih kurang 164 tahun. Namun begitu tahun-tahun yang disebutkan ini bukanlah tahun yang tepat. Ramai orang buat kajian, tahun lahir dan tahun matinya yang sebenar tidak dapat dipastikan. Menurut Dr. Haron Din dalam kuliahnya, umur Syeikh daud Fatani ini 164 tahun. Sebab itu ilmunya banyak (kerana usianya panjang).



Hidup selama 164 tahun, dia boleh menuntut ilmu dalam tempoh yang lama. Sebelum usianya 10 tahun lagi, dia sudah mahir ilmu agama. Selepas itu dia pergi pula duduk di Mekah selama 30 tahun. Tinggal di sana bukan sekadar belajar, tetapi dia juga jadi guru, punya hebat. Duduk pula di Madinah 5 tahun. Patah balik ke Pattani, berjuang jihad, sebarkan agama, berperang...



Banyaklah pengalamannya selama lebih 160 tahun itu. Sebab itu dia banyak ilmu. Dia mengarang lebih daripada 100 buah kitab. Kita hendak karang sebuah buku pun belum tentu. Dia mengarang dalam keadaan tulis tangan, tidak ada computer pada zaman itu. Sehingga sekarang pun kitab-kitabnya masih banyak diajar di surau-surau dan masjid-masjid (juga di pondok-pondok). Antaranya kitab Kifyatul Muhtad, Tanwirul Fawaid, Furuul Masaail, Bughyatul Tullab dan pelbagai lagi.



Yang hebatnya Syeikh Daud Fatani ini, sewaktu dia tinggal di Mekah dulu dia berada di bawah kemarakan fahaman kaum Salafi Wahabi, namun dia tidak terkena fahaman itu. Sebaliknya dia masih mengikut fahaman sebagaimana yang kita pegang (hari ini).

Read more...

Rang E Khuda - Garapan Falsafah Ketuhanan



Usai menonton filem Rang E Khoda atau dalam bahasa inggerisnya Colors of Paradise karya Majid Majidi. Filem artistik tahun 1999 ini begitu menarik dan mencuit perasaan. Garapan Majid Majidi selalunya menjadi seperti mana filem Children of Heaven dan Baran . Kenapa kebanyakkan karya dari pengarah Iran memetingkan intonasi falsafah yang sangat realistik ? Kerana bagi saya falsafah realistik ini membuatnya berbeda dari filem-filem negara lain. Sekalipun barat sedikit sebanyak mengambil idea-idea daripada pembuat filem Iran seperti di dalam filem August Rush namun amat sedikit pengkarya barat memberanikan diri menonjolkan idea-idea ini. Usah di tanya dengan pembikin filem Malaysia, saya katakan tidak pernah melihat satu pun filem yang baik dan realistik untuk di tonton.

Rang E Khoda unik dan artistik dan falsafah ketuhanan yang amat tinggi dan sinis. Mohamad, seorang budak lelaki yang menghadapi masalah penglihatan di tempatkan di sekolah asrama khas bagi mereka yang menghadapi masalah kecacatan mata. Hilangnya nikmat penglihatan tidak melemahkan semangat Mohamad menggunakan kemahiran tangan dalam mempelajari sesuatu perkara yang baru. Tangan yang begitu kreatif dan pendengaran yang sangat jelas membuktikan kurnia Tuhan kepada setiap inci tubuh adalah untuk mengenali Nya. Ayahnya berusaha memisahkan Mohamad daripada keluarga kerana malu dengan bakal isterinya. Diam-diam ayah Mohamad menghantar Mohamad kepada seorang tukang kayu yang juga buta untuk mengajar Mohamad menjadi seorang tukang kayu.

Nenek dan dua orang adik Mohamad amat sedih dengan kehilangannya sehingga menyebabkan kematian neneknya. Sebelum meninggal nenek Mohamad menyatakan kerisaukannya terhadap bapanya bukan kepada Mohamad, ini kerana sikap bapanya yang makin hari hilang rasa kasih sayang kepada anaknya sendiri. Mohamad di ajar dengan baik dan gembira bersama si tukang kayu.

sambung...

Read more...

Berdakwahlah, Jangan Menakutkan

Kehadiran para karkun ke kariah kita sememangnya membawa aura tersendiri yang sedikit-sebanyak diharap dapat memberikan suntikan iman dan amal kepada masyarakat. Aktiviti mereka ketika ‘keluar’ di masjid ataupun surau kita pada UMUMNYA BAGUS BELAKA. Namun begitu, terdapat juga beberapa perkara kurang enak yang sebenarnya BOLEH DIPERBAIKI, yang secara tidak langsung dapat MEMANTAPKAN lagi gerak kerja jemaah Tabligh. Salah satunya ialah ‘gesaan’ yang kurang berhikmah oleh SEBAHAGIAN para pekerja jemaah Tabligh.



Sudah menjadi fitrah kepada mana-mana perkumpulan Islam pun, KITA MAHU ORANG LAIN melibatkan diri dalam AKTIVITI-AKTIVITI YANG JEMAAH KITA ANJURKAN. Jemaah-jemaah tariqat mahu orang ramai menyertai halaqah mereka. Parti Islam mahukan orang ramai menyertai program mereka. Hizbut Tahrir juga mahu begitu. ABIM, JIM, ISMA, Haluan dan lain-lain pun sama, termasuklah jemaah Tabligh.



Persoalannya- kita bersungguh-sungguh mengajak orang lain menyertai program-program anjuran kita, apakah kita juga sebenarnya SUDAH MENUNJUKKAN CONTOH dengan bersedia mengikuti program-program anjuran pihak yang lain? Di mana adilnya jika kita menggesa orang datang ke kenduri di rumah kita sedangkan KITA SENDIRI TIDAK SUKA PERGI ke kenduri orang? Jika kita sendiri belum menunjukkan contohnya, sebaiknya jangan menggesa orang lain mengikuti program kita.


Di sinilah dakwah Tajdid Segar memainkan peranan. Sungguhpun kita sudah ada jemaah tertentu yang kita selesa untuk sehidup semati dengannya, tetapi sesekali ada baiknya kita mengikuti program jemaah-jemaah lain asalkan saja jangan sampai terabai pula komitmen kita dengan jemaah kita. Sesekali orang Tabligh menghadiri program orang Naqsyabandiah. Sesekali orang Parti Islam mengikuti program orang Tabligh. Sesekali orang ISMA bersama dalam program tarbiah orang jemaah an-Nur Said Nursi.


Dengan cara begini, lama-kelamaan minda para pekerja agama seluruh dunia akan terbuka lebih luas. Mereka dapat melihat BAGAIMANA UMAT INI BERGERAK dan ke mana halatujunya. Maklumlah, selama ini mereka HANYA MELIHAT bagaimana fikrah dukungan mereka bergerak, belum pernah memahami PERGERAKAN UMAT. Lebih menyedihkan ialah apabila ahli-ahli sesuatu fikrah itu ditanam dalam minda mereka bahawa pergerakan fikrah mereka itulah pergerakan umat.


Mengapa begitu? Kerana para pimpinan mereka masih selesa dengan DAKWAH TAJDID UNTUK KURUN YANG LALU iaitu bergerak secara berbilang jemaah SAHAJA. Padahal untuk kurun ini, kita mesti bergerak secara berbilang jemaah juga DAN mengusahakan untuk begerak sebagai satu umat.


Bicara soal dakwah tajdid segar, nanti akan panjang berjela pula artikel ini. Cukup setakat ini, dan kita kembali kepada “berdakwahlah, jangan menakutkan”.



Kita lihat ada karkun yang mempromosikan agar orang lain mengikuti aktiviti dakwah mereka BERLEBIH-LEBIHAN sehingga mendatangkan kesan negatif. Jemaah yang baru hendak pulang seusai solat ditahan dengan teknik-teknik tertentu oleh mereka. Oleh kerana hormat dan segan, orang itu pun terpaksalah mendengar percakapan di karkun. Kadang-kadang sudah dua tiga kali bergerak, masih dipaksa secara halus untuk mendengar dakwah si karkun. Di dalam masjid sudah ditahan, si karkun akan berusaha untuk memanjangkan dialog/ ceramahnya. Sampai di pintu masjid, ditahan lagi secara halus. Sudah pakai kasut pun ditahan lagi. Sudah sampai ke kenderaan pun si karkun masih bersyarah. Memang para karkun dilatih untuk bersyarah panjang. Kalau boleh prospek mereka jangan mencelah, dengar saja.



Dua tiga kali kena macam tu, akhirnya apabila jemaah Tabligh datang ke masjid, ramai jemaah tempatan yang TIDAK DATANG SOLAT BERJEMAAH. Dengar saja kata ada jemaah Tabligh datang berkampung, tiga empat harilah sebahagian orang tempatan solat di rumah. Mereka jadi takut kalau-kalau nanti diajak bersembang/ mendengar ceramah panjang. Asal tujuan para karkun ialah untuk membanyakkan hadirin ke masjid, tapi akhirnya membuatkan orang takut untuk datang. Begitulah yang selalu saya lihat dalam 18 tahun ini.



Sepatutnya kita mempromosi, bukan memaksa (walaupun secara halus). Apabila orang tidak selesa, langsung mereka tidak datang berjemaah. Apabila dakwah dilakukan dengan cara yang tidak berhikmah, beginilah jadinya.


Oleh itu, kepada SEBAHAGIAN penggerak dakwah jemaah Tabligh, ambillah teguran ini secara positif dan buatlah perubahan. Sampaikan isi kandungan artikel ini kepada sahabat-sahabat anda yang tidak berkesempatan membacanya. Semoga kita dapat bergerak sebagai satu umat suatu hari nanti, insyaallah.



Abu Zulfiqar @ Alexanderwathern

16 November 2009

Read more...

  ©Template by Dicas Blogger.

TOPO